Assalamualaikum...Hanya tinggal beberapa ketika sahaja lagi,kita akan melangkah ke tahun baru 2012. Hanya beberapa ketika sahaja lagi kita akan melangkah meninggalkan tahun 2011. Terasa begitu cepat masa berlalu kerana pasti kita masih teringat-ingat detik 1 Januari 2011, begitu terujanya kita menyambut tahun 2011, kini sudah ingin meninggalkannya. Pastinya telah banyak yang kita lakukan dan tempuhi sepanjang tahun 2011 ini. Pahit, manis, kesusahan, kesenangan, dan pelbagai kenangan jatuh bangun kitaran kehidupan.
Dan, persoalan paling penting sebelum kita melangkah pergi daripada tahun 2011 adalah adakah tercapai azam 2011 yang kita pahatkan di awal tahunnya? Ada yang sudah, ada yang belum. Di saat tinggal beberapa ketika inilah ramai yang sudah mula memasang azam-azam tahun 2012. Macam-macam la dapat kita dengar. Nak jadi lebih kaya, nak pakai kereta besar, nak beli rumah, nak dapat kerja. Tak ketinggalan ada yang nak ubah sikap, nak memajukan bisnes, menjaga keluarga dengan lebih baik, dan banyak lagi azam yang ingin dicapai.
Selalunya, bagi mereka yang berazam, cuba anda wujudkan satu papan yang dikenali “My Dream Board” atau Papan Impian Saya. Jika secara konvensionalnya orang akan hanya menyebut atau menulis segala yang diazamkan dan diimpikan, kali ini, kita buat sedikit inovasi. Selain menulis, lekatkan gambar-gambar untuk setiap azam anda. Contohnya, jika anda inginkan sebuah kereta besar, gunting gambar kereta daripada keratan akhbar dan lekatkannya di Papan Impian anda. Ini bermakna,jika anda punyai 5 impian atau azam yang ingin dicapai sepanjang tahun 2012, anda akan mempunyai 5 keratan gambar yang mengilustrasikan kenyataan anda.
Tujuan menggunakan kombinasi gambar dan tulisan adalah untuk membuatkan anda lebih nampak dan jelas apa yang anda ingin capai. Jika inginkan rumah, anda nampak rupa bentuk rumah yang ingin dibeli kelak. Jika inginkan perubahan sikap, anda nampak peribadi sebagaimana yang anda ingin jadi. Jika anda inginkan kecemerlangan dalam pelajaran, anda nampak A dalam setiap pencapaian akademik anda. Dengan terzahirnya impian anda dalam bentuk grafik, anda akan lebih bermotivasi dalam usaha menunaikan apa yang diazamkan dan diimpikan.
Seterusnya, gantung atau lekatkannya di tempat yang anda akan selalu lihat. Contoh paling efektif ialah di sebelah cermin solek. Bayangkan, dalam sehari berapa kali anda melihat cermin? Nak pakai tudung, pakai mekap, sikat rambut, pakai baju. Ini bermakna setiap kali anda melihat cermin, anda akan melihat juga azam-azam anda. Ini dapat mengingatkan anda sentiasa tentang pencapaian anda merealisasikan azam-azam anda. Sebelum melangkah keluar rumah setiap hari, anda sudah diingatkan apa yang nak dibuat setiap hari anda untuk mencapai impian anda.
Juga, satu elemen yang sering kali dilupai ketika menyiapkan azam dan Papan Impian. Ringan dimulut ketika kita berbicara namun tak terlihat dengan usaha kita, iaitu aspek ibadah. Jika dilihat, kebanyakkan Papan Impian tidak melekatkan gambar kubur ataupun Al Quran. Kita perlu ingat,kita tidak tahu bila kita akan mati, mungkin tahun ini. Seharusnya, kita sentiasa mempersiap diri menanti panggilannya. Di sebalik keasyikan kita mengejar impian material, kejar juga impian selepas mati. Selalu ingatkan diri tentang mati dan tambah amal kita. Lekat gambar kubur atau Al Quran di Papan Impian anda agar setiap kali anda melihat Papan Impian anda akan mengingatkan diri anda yang anda semakin menghampiri kematian, maka banyakkanlah amal dan taubat. Anda berani?
Akhir kata, WS ucapkan Selamat Tahun Baru 2012, semoga tahun baru ini memberi inspirasi untuk kita terus menjadi HEBAT di mata manusia dan di mata Allah. Tingkatkan KEHEBATAN, kecapi lebih banyak KEJAYAAN. Anda HEBAT, tidak siapa boleh menafikannya. Dan, teruskan menjadikan Warkahsiber sebagai Laman Motivasi #1 Anda! Ingat Motivasi, Ingat Warkahsiber. Salam Tahun Baru 2012 daripada Warkahsiber..
Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,
2 comments:
impian saya pulak nak dapat 9a SPM, doakan saye ye :D
Insyaallah,keputusan SeHEBAT usaha dan tawakkal, Emmet..=)..
Post a Comment