Showing posts with label Tips Motivasi Hebat. Show all posts
Showing posts with label Tips Motivasi Hebat. Show all posts

Wednesday, 11 September 2013

Inspirasi Cerita Tikus dan Kucing

Assalamualaikum.. “Posting” kali ni WS nak kongsi satu cerita yang sangat memberi inspirasi. Kesannya, WS terus mula menulis apabila mendengar cerita ini. Jadi, WS nak anda juga merasai impak inspirasi cerita yang WS nak kongsikan ni. Semoga kisah ini memberi kesan yang sama kepada anda. Ceritanya berkisarkan tikus dan kucing. Cerita ni bukannya tentang kartun Tom and Jerry kat tv tu. Yang ni cerita tikus dan kucing versi baru. Jom layan cerita tikus dan kucing ni!

Kisahnya bermula di sebuah negara yang diberi nama negara Tikus. Kenapa diberi nama negara Tikus? Sebab semua penduduk negara tersebut adalah tikus. Bermacam-macam jenis tikus ada. Tikus mondok, tikus putih, tikus hitam, tikus kecik, tikus besar dan macam-macam lagi la. Ok, negara ini pada mulanya begitu aman di mana tikus-tikus dengan amannya berkeliaran dan bersosial di antara satu sama lain. Mereka hidup dengan tenang dan damai. 

Namun, suatu hari, secara tiba-tiba negara Tikus ini telah diserang oleh seekor kucing gergasi. Sejak menemui negara Tikus, kucing gergasi ini sering saja menyerang negara tersebut apabila lapar. Asal lapar je, serang. Asal lapar je, serang. Asal serang je, lapar. Kucing gergasi tersebut menjadikan tikus-tikus di situ sebagai santapannya. Maka bertempiaranlah tikus-tikus setiap kali diserang oleh kucing tersebut. Kucing gergasi tersebut dengan rakusnya memakan tikus-tikus di situ. Anak tikus, bapa tikus, mak tikus, hatta tok wan tikus yang tua pun dimakannya. Kesian.

Disebabkan begitu risau dan takut dengan serangan kucing gergasi tersebut, perdana menteri negara Tikus memanggil semua tikus-tikus berkumpul untuk mebincang masalah tersebut. Mereka berkumpul di Dataran Tikus. “Semua tikus sekalian, saya memohon pandangan dan idea daripada anda semua untuk kita bersama-sama mempertahankan negara kita daripada ancaman kucing gergasi ini,” ucap perdana menteri tikus. Tetapi, perhimpunan tersebut menjadi sepi kerana masing-masing buntu memikirkan cara yang terbaik mengatasi masalah ini.

Tiba-tiba, seekor tikus tua bertaraf professor perlahan-perlahan berjalan di celah-celah ribuan tikus yang berhimpun untuk mendapatkan mikrofon yang disediakan di hadapan. Apabila diberikan mikrofon, professor tikus sambil memegang tongkat terus berkata, “Saya ada idea bagaimana untuk kita mengatasi masalah serangan kucing gergasi ini. Apa yang berlaku ialah kita tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri apabila diserang oleh kucing tersebut. Kita tidak mempunyai sistem amaran yang memberitahu kita akan kedatangan kucing tersebut. Sebab itu ramai yang menjadi mangsa, tak sempat melarikan diri atau bersembunyi.”

Selepas batuk seketika, professor kucing ini menyambung, “Jadi, saya cadangkan kita memasang sistem amaran untuk membantu kita lebih bersedia untuk menyelamatkan diri. Kita sepatutnya memasang loceng di leher kucing tersebut. Dengan adanya loceng itu, kita pasti dapat mendengar kehadiran kucing tersebut lebih awal, jadi sempatlah untuk kita bersembunyi dan menyelamatkan diri.” Idea ini disambut baik oleh semua yang hadir di perhimpunan tersebut termasuklah perdana menteri tikus.

Setelah semua bersetuju dengan idea tersebut, perdana menteri tikus membuka ruang kepada sesiapa yang ingin menjadi ahli perisik dan ejen bagi melaksanankan misi memasang loceng tersebut. Sekali lagi pelawaan perdana menteri tikus itu disambut sepi. Masing-masing kelihatan tidak mahu menawakan diri melaksanakan misi tersebut. Di sebalik sorakan gempita di awal tadi, kini Dataran Tikus senyap sepi. Semuanya mula menikus. Maka, dicadangkan untuk ditangguhkan dahulu perhimpunan tersebut dan kembali semula membincanglkan hal ini kemudiannya.

Setalah berhari-hari, masih lagi belum ada yang ingin bertindak melaksanakan misi tersebut. Hari-hari berikutnya juga masih tidak terlaksana idea tersebut. Dan disebabkan itu, misi tersebut terus tertangguh. Akibatnya, tikus-tikus tersebut terus menjadi mangsa bahaman kucing gergasi tersebut kerana loceng yang dicadangkan itu tidak dipasang. Ini kerana masing-masing tidak mahu dan tidak berani mengambil tindakan melaksanakan idea tersebut. Negara tikus terus dilanda ketakutan dan kekacauan. Akhirnya, habis semua tikus di situ menjadi mangsa kucing tersebut termasuklah professor tikus yang memberi idea tersebut. Kesian.

Ha, faham cerita ni? Agak-agak, apa pengajarannya? Pengajarannya ialah kata-kata tanpa tindakan adalah merugikan. Sebenarnya, kita terlalu banyak berkata-kata dalam hidup tetapi kurang bertindak. Kita selalu “plan” hidup kita dengan penuh semangat dan hebat, tetapi apabila bertindak, HAMPEH. Takut, risau, malas, bertangguh, antara penyakit yang menghalang kita mengambil kuasa bertindak dalam hidup kita. Ingat, kelajuan tindakan membuatkan hidup kita lebih hebat. Lebih cepat kita bertindak, lebih cepat kejayaan datang kepada kita. Jadi jika anda sering tertanya-tanya siapa yang mula dan bila nak mula, jawapannya mudah, “It’s YOU! It’s NOW!” Alrite, semoga perkongsian kali ini sangat bermakna untuk anda. Selamat menjadi orang lebih hebat dalam hidup anda. All the best, guys!


Hustle up and be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Thursday, 9 May 2013

Adoii!! Masalah, Masalah, Masalah.. Bahagian 2

     Assalamualaikum..Untuk kali ini, sebelum kita masuk “main point” post hari ni, WS nak “share” satu cerita dulu. Cerita ini tentang seseorang yang sangat “famous”. Mestilah, siapa yang tak kenal Steve Jobs, pengasas Apple. Syarikat dialah yang mengeluarkan produk-produk popular seperti komputer Macintosh, iPod, iPad, dan yang paling meletup sekali, iPhone. Dah sampai iPhone 5 dah sekarang. Tapi bukan pasal produk-produk dia yang WS nak cerita ni (sebab WS bukannya “promoter” Apple, hehe..), tapi masalah-masalah yang dihadapi Jobs ketika mengurus syarikat tersebut.  

     Antara masalah yang dihadapi diawal penubuhan Apple ialah Lisa yang tidak terjual. Bukan orang la, tapi Lisa ialah sebuah komputer peribadi (PC). Pada awalnya, Lisa diharapkan menjadi kejayaan termasyhur Jobs namun bertukar menjadi kerugian terburuk yang ditanggung oleh Jobs dan rakannya. Lisa mencatat jumlah jualan yang sangat mengecewakan. Antara faktor yang menyebabkan Lisa tidak dipandang oleh pengguna-pengguna komputer pada masa itu ialah kerana produk ini tidak mampu menandingi komputer keluaran IBM. Segala pelaburan, perbelanjaan dan usahanya mengeluarkan Lisa sangat tidak berbaloi. Rugi,rugi! Kerugian dan kegagalan Lisa menyebabkan Jobs terpaksa menanggung pelbagai masalah. Lepas tu, apa yang jadi?

    Empat tahun kemudian, Jobs mengeluarkan sebuah produk yang menjadi antara komputer peribadi terbaik dan termasyhur iaitu Macintosh. Di sebalik semua masalah yang dihadapi Jobs ketika kegagalan Lisa, bagaimana dia mampu menghadapinya dan terus mencipta kejayaan menakjubkan  dalam hidup dia? Sebab, dia tahu masalah akan terus menjadi masalah jika kita dibelenggu 3 perkara “Selamanya”, “Semuanya” dan “Sebab Saya”. Lisa takkan bertukar menjadi Macintosh yang lebih berjaya jika Jobs membiarkan 3 perkara ini merantai masalahnya. 3 perkara inilah yang mengikat kebanyakan daripada kita dengan masalah, dan terus dibelenggu dengan masalah yang sama berulangkali. Kita akan tengok satu persatu apakah maksud setiap rantai yang menjadikan masalah kita lebih bermasalah.

Selamanya:
Inilah faktor terbesar menjadikan masalah lebih bermasalah. Ramai daripada kita menganggap bahawa sesuatu masalah atau kekurangan yang dihadapi adalah bersifat kekal. Sekali dah bermasalah, selamanya kita akan hadapai masalah yang sama. Kita selalu berfikir yang tiada apa yang mampu dibuat untuk menyelesaikan masalah tersebut. Gagal dalam exam, selamanya tak pandai. Tak reti cakap English, sampai bila-bila tak reti English. Tak pandai cakap depan orang ramai, selamanya tak boleh cakap depan umum. SALAH!! Masalah hanya akan kekal jika kita yang mengekalkannya. Masalah akan selesai jika kita yang menyelesaikannya.  Selalulah berpesan kepada diri, “Boleh settle ni” kerana jika anda kerap mencuba, anda akan berjumpa jalannya. Bila dah jumpa jalan, lepaslah daripada masalah tersebut. Ingat, masalah akan selamanya kekal jika kita yang tidak melepaskan diri kita daripada masalah tersebut.

Semuanya:
Masalah akan terus menjadi masalah dan berganda-ganda apabila kita asyik bersangka bahawa satu masalah melambangkan semua dalam hidup kita ini bermasalah. Dalam Bahasa Inggeris ini dipanggil “pervasiveness”. Terlebih berat badan, seluruh hidup musnah sebab tak boleh dapat kerja, tak boleh kahwin, tak boleh itu, tak boleh ini. Tapi, realitinya, ada je orang gemuk jadi bos besar, ada je orang gemuk kahwin, siap anak 6 lagi, dan ada je mereka yang mencipta banyak kelebihan berbanding kita. Kenapa? Satu masalah tidak melambangkan seluruh hidup kita. Hanya sebahagian kecil elemen dalam hidup kita sahaja yang ada masalah. Contohnya, seseorang menghadapi masalah dengan berat badan, itu sahaja masalahnya, selesaikan masalah tersebut, habislah! Jangan disebabkan satu masalah, kita mengheret jatuh seluruh bahagian dalam hidup kita yang mampu kita gunakan untuk mencipta kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan kita.

Sebab Saya:
Faktor yang terakhir ialah "personal", atau dalam Bahasa Melayunya peribadi. Masalah akan bertambah bermasalah bila kita mengaggap bahawa semua masalah berpunca daripada siapa diri kita. Kebanyakkan masalah berpunca daripada apa yang kita buat, apa yang kita pilih, bukannya siapa diri kita. Disebabkan kita miskin, kita tak boleh berjaya. Disebabkan kita gemuk sperti yang WS nyatakan sebelum ini, kita tak boleh berjaya. Disebabkan kita tak cantik, kita kena bagi laluan kepada yang cantik untuk masuk pertandingan. Semua ini perlu dibuang!! Tiada lagi merit kejayaan berdasarkan siapa kita tapi kejayaan hadir daripada apa yang kita buat. Sebab itu seseorang makin stress bila cuba mmengaitkan masalah yang dihadapi dengan diri sendiri, padahal sebenarnya tiada kaitan langsung dengan apa yang ada pada dirinya. Jadi, banyakkan berfikir tentang apa yang kita nak buat berbanding siapa kita.


     Kesimpulannya, masalah akan menjadi lebih bermasalah bila kita mengatakannya adalah selama-lamanya, semuanya dan sebab saya. Jauhi pemikiran-pemikiran sebegini untuk kita lebih efektif dan efisyen menangani apa jua masalah yang kita hadapi dalam hidup, baik masalah peribadi, masalah dalam perhubungan, masalah bisnes, masalah pelajaran dan pelbagai lagi. Ingat, masalah akan bertambah bermasalah jika kita sendiri yang bermasalah. Jadi, ubah diri dan minda daripada diri yang bermasalah kepada diri yang lebih baik. Kawal masalah anda, terkawal hidup anda. Semoga kita lebih berjaya dan bahagia. All the best, guys!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Monday, 25 March 2013

Adoii!! Masalah, Masalah, Masalah..

Assalamualaikum..Hidup memang bermasalah. Betul, kan? Siapa yang dekat dunia ni hidupnya tak ada masalah? Sultan ada masalah, PM ada masalah, CEO ada masalah, pelajar ada masalah, makcik “cleaner” ada masalah, tukang kebun ada masalah, pak “guard” ada masalah, sampaikan “baby” yang kecil tu pun ada masalah. Mana taknya, nak mandi sendiri tak boleh, nak makan sendiri tak boleh, nak tidur sendiri pun tak boleh. Terpaksalah mak dan ayah dodoikan si kecil tu. Nak dodoikan anak pun masalah, mak dan ayah pakat-pakat lawan tolak, “Abang buatlah”, “Mak dia la lagi baik dodoikan”. Aiisshh, masalah, masalah, masalah!

 Jadi, apa yang kita nak bincang hari ni? Yang pastinya, kita bukannya nak senaraikan masalah-masalah dekat dunia ni. Memang tak habis “list” la kalau nak senaraikan satu-satu. Untuk kali ini, kita nak tengok dan faham sedikit tentang masalah. Apakah asas berlakunya masalah? Apakah yang perlu kita faham apabila masalah timbul? Inilah persoalan-persoalan utama dalam “post” WS kali ini.

Apa yang WS senaraikan di atas hanyalah sebahagian daripada masalah yang kita hadapi dalam hidup kita seharian. Bahkan, ada dalam kalangan kita yang telah dan masih menanggung masalah tersebut semenjak bertahun-tahun. Pertanyaan utama ialah KENAPA KITA ADA MASALAH? Asasnya, setiap masalah yang berlaku, adalah cabang daripada apa yang kita ada dalam hidup. Kalau kita ada kerja,kita akan ada masalah tentang kerja. Kalau kita ada kawan, kita akan ada masalah tentang kawan kita. Kalau kita belajar, kita akan masalah berkaitan pelajaran kita. Kalau kita ada anak, kita akan ada masalah berkaitan anak kita. Kalau kita ada kereta, kita akan masalah tentang kereta.

Penyelesaiannya, tak payah ada apa-apalah dalam hidup kita. Senang, baru takda masalah. Kan? Tapi, apalah nikmatnya hidup kalau tak peroleh apa-apa. Hidup tanpa kerja, hidup tanpa kawan, hidup tanpa cinta, hidup tanpa harta, hidup tanpa keluarga. Semua ini menunjukkan pencapaian dan usaha yang telah kita lakukan dalam hidup kita, dan inilah hasilnya. Jadi, apa yang kita perlu sedar dan tukar sekarang ialah KITA TAK MUNGKIN DAPAT LARI DARIPADA MASALAH. Apa yang kita ada, itulah masalah yang bakal kita ada. Mula terima hakikat yang hidup tak bermasalah adalah hidup yang tak mungkin. Kita memang akan dibebani dengan masalah.  Sama ada kita yang cipta atau kita menjadi mangsa, masalah tetap akan datang. Yang membezakannya hanya kecil besar masalah itu dan bagaimana kita menghadapinya. Oleh yang demikian, kita harus BERSEDIA!!!  

Tapi, kita mungkin memikirkan yang kenapa hidup orang lain nampak macam senang, nampak macam takda masalah. Contohnya, kita cemburu melihat orang yang mempunyai syarikat besar. “Bahagia je si Leman tu, syarikat besar, kereta besar, bini besar..Kita ni pantang lekat bahagia, ada je masalah.” Namun, prinsip berharga yang kita pelajari hari ini ialah setiap yang kita ada, pasti akan timbul masalah daripadanya. Dengan syarikat yang lebih besar daripada kita, masalahnya mungkin lebih banyak. Macam mana nak tambah keuntungan berganda bagi menapung kos operasi yang meningkat? Macam mana nak memastikan setiap 200 pekerjanya berpuas hati dan menjaga imej serta kualiti syarikat? Macam mana hendak memastikan syarikatnya yang telah popular tidak merudum dan tersungkur menanggung malu? Nampak sekarang? Tiada orang yang mampu lari daripada masalah. Tiada orang yang tiada masalah.

Ingat, jika kita mula mengubah persepsi daripada HANYA KITA YANG ADA MASALAH kepada SETIAP ORANG ADA MASALAH, kita dapat mengurangkan fokus minda kita memikirkan tentang orang lain. Fokus kita hanya akan lebih terarah kepada masalah yang kita hadapi dan bukan lagi kesenangan yang orang lain perolehi. Jangan terlampau stres memikirkan kesusahan dan kepayahan kita dengan membayangkan kesenangan orang lain. Itu hanya persepsi songsang minda kita yang menjadikan masalah kita bertambah bermasalah. Bila masalah tambah bermasalah, kita mula tertekan dan stres. Kesan tekanan yang memuncak ini, manusia mula iri hati, manusia mula dengki, manusia mula bergaduh, manusia mula bertengkar, manusia mula menghancurkan satu sama lain.

Jadi, mulai sekarang, ubah minda dan ubah persepsi yang BUKAN KITA SAHAJA YANG ADA MASALAH, SEMUA ORANG ADA MASALAH. Dan, untuk baiki masalah kita, baiki minda kita terlebih dahulu. Persoalan berikutnya ialah apa yang perlu kita lakukan? Macam mana nak selesaikan masalah kita? Perbincangan ini bakal WS sentuh dalam “post” Adoii!! Masalah, Masalah, Masalah.. Bahagian 2. Tungguuuu!!!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Friday, 8 February 2013

“Suka Hati Aku La!!”: Menangani EGO

     Assalamualaikum.. “Suka hati aku la!!”. “Kau tau apa??”. Ha?? Apasal tiba-tiba macam marah je ni. Marah kat sapa pulak ni? Bunyi macam berlagak pun ada juga. Haa, kalau nak tahu, inilah antara reaksi dan ayat-ayat yang sering dilafazkan oleh orang yang EGO. Sebenarnya, EGO ni kita boleh tengok dalam macam-macam ragam. Macam Astro, macam-macam ada. Hehe. Ada yang EGO tak boleh ditegur, ada yang EGO tak mahu  terima pandangan orang lain, ada yang EGO dengan kelebihan material, rupa dan populariti, dan ada juga yang EGO tapi sebenarnya tak tahu apa pun! Ada antara kita yang sedar dia mempunyai EGO yang tinggi, dan ada juga yang tak sedar. Oleh itu, hari ini kita akan sama-sama baiki diri kita dengan cara menangani dan mengawal EGO kita. Jom baca tips EGO kali ini.

Sentiasa Menghinakan Diri
     Simptom terbesar orang yang mempunyai masalah EGO ialah merasakan diri terlalu MULIA dan HEBAT. Dialah yang patut dihormati, patut digeruni, patut dibesarkan, patut dipuji, patut diberi perhatian, patut segalanya. Perasaan perasan besar ini menjadikan kita tak boleh ditegur, tak boleh dinasihati, tak boleh dibetulkan. Kebiasaannya kelebihan material seperti harta, kereta, barangan mewah,pangkat, populariti menjadi punca perasan MULIA ini. Lebih yang itu, lebih yang ini.

     Cantas EGO dengan sentiasa set dalam minda yang diri kita ini hina. Kemuliaan dan kebesaran hanya milik  Allah. Sentiasa ingat bahawa diri kita sangat hina kerana segah mana pun sut yang dipakai dan kereta yang dipandu, kita sentiasa membawa kotoran bersama kita. Air kencing,najis, muntah, kentut, segalanya ada dalam perut dan badan kita. Benda-benda kotor inilah yang sering kita bawa ke mana sahaja.Pergi majlis besar ke, pakai baju cantik-cantik ke, pangkat tinggi-tinggi ke, tetap ada najis dalam perut. MULIA sangat ke kita ni, walhal sentiasa membawa najis ke mana sahaja? So, jangan perasan hebat sangat la ekk!!

Meminta dan Memberi Maaf
     Ada satu perkara yang orang EGO tak boleh buat. Sering mencari kemaafan. Ha, kalau nak “test” EGO ke tak, cuba engok diri kita sendiri. Adakah kita banyak mencari dan meminta maaf daripada orang lain atau buat tak tahu je bila dah buat silap? Meminta maaf adalah proses kita merendahkan diri dan memuliakan orang lain untuk mendapat pengampunan daripada orang tersebut. Seseorang yang EGO pastinya takkan sanggup merendahkan diri sendiri dan memuliakan orang lain untuk meminta maaf. Bak kata Elton John “Sorry seems to be the hardest word.” Sebab? Orang yang EGO merasakan dia lebih MULIA daripada yang di hadapannya.

     Jadi, untuk mengikis EGO daripada diri kita, sentiasalah meminta dan mencari kemaafan orang lain. Semua orang buat salah, dan semua orang itu termasuk KITA. Semua orang tak sempurna, dan semua orang itu termasuklah KITA. Jadi, bila dah buat salah, biasakan diri meminta maaf. Meminta maaf selalunya tak memerlukan huraian panjang lebar, cukup sekadar sebaris ayat “Minta maaf”, “Sorry” yang datang dari hati. Ingat, mencari kemaafan membuatkan kita lebih MULIA di mata orang berbanding merasakan diri tu MULIA di mata sendiri.

Kawal Fizikal
     Gerak badan mempunyai hubung kait dengan kesan psikologi. Sesuatu gerakan seperti postur duduk menggambarkan keadaan psikologi seseorang ketika itu. Hal ini boleh juga digunakan untuk mengawal tahap EGO kita. Macam mana? Dengan memanipulasi gerak fizikal untuk kesan psikologi yang MANTOP! Selalulah amalkan gerak fizikal ini. Antaranya, kerap menundukkan kepala. Apabila kepala sering ditundukkan, secara psikologinya menggambarkan diri kita seorang yang suka beralah. Apabila kita senang beralah, kuranglah “angin taufan” kita, barulah dapat turun rasa EGO tu.

     Persoalannya, bila nak buat? Bila-bila pun boleh. Masa berjalan pun boleh. Bak pesanan dalam Al Quran, sentiasa tundukkan pandangan ketika berjalan. Jika kerap diamalkan perbuatan ini, secara tidak sedar lama-kelamaan akan menjadikan kita seorang yang rendah diri. “Try” la. Dah lama Al Quran bagi tips ni. Lagi satu, tundukkan pandangan juga jika terasa nak marah atau bila dikonfrontasi. Juga, sentiasa bernafas panjang dan dalam-dalam bila berada dalam situasi seperti itu. Pernafasan yang panjang dan dalam menjadikan kita lebih tenang, manakala pernafasan yang pendek-pendek dan laju akan meningkatkan degupan jantung dan darah mengalir laju. Tu yang dok naik darah tu, dan asyik nak melawan je. Jadi, mulai sekarang, kawal gerak fizikal anda untuk mengawal EGO anda!

     Inilah antara tips yang WS kongsikan berkenaan mengawal EGO. Setiap orang mempunyai EGO. Yang penting ialah memastikan EGO kita sentiasa terkawal. Sebab kalau kita tak kawal EGO, nanti EGO yang akan kawal kita. Kesannya? Banyaklah perkara-perkara negatif akan kita lakukan. Mulai sekarang, sentiasa kawal EGO anda, anda mampu mengubahnya. (Macam iklan, hehe..) Nanti ada tips lagi, WS kongsi lagi. All the best, guys!!

Hustle up and Be GREAT!!
Salam transformasi daripada,

Wednesday, 6 June 2012

BFF Yang "Awesome": Tips Daripada Sairus Salikin

     Assalamualaikum..Siapa kat sini yang ada BFF? Kebanyakan daripada kita mempunyai ramai kawan, tetapi daripada ramai-ramai dalam senarai kawan anda, mesti ada segelintir yang anda gelarkan mereka sebagai BFF (Best Friend Forever). Wah, “forever” tu! WS ada BFF, mesti anda pun ada BFF kan. Mereka yang kita anggap BFF ini lazimnya adalah mereka yang begitu akrab dan memahami peribadi kita. Senang cakap, mereka yang sekepala dengan kita lah.

     Menariknya, asas persahabatan itulah yang akan menentukan sekukuh mana dan seikhlas mana persahabatan yang terjalin di antara anda dan BFF anda. Untuk itu, kita akan menyingkap tips persahabatan yang dipetik daripada sebuah kitab masyhur, Sairus Salikin. Menurut kitab ini, persahabatan terasas di atas empat perkara, dan empat perkara inilah yang akan menentukan keutuhan dan hala tuju sebuah persahabatan.

Bersahabat kerana zatnya:
     Asas yang pertama ialah persahabatan yang terjalin kerana zat atau keadaan fizikal seseorang itu. Keadaan fizikalnya yang menarik membuat kita terdetik untuk menjalinkan persahabatan dengan BFF kita. Contohnya, disebabkan dia “hensem”, cantik, bertubuh sasa, tinggi, kuat, sempurna penampilan, maka kita pun bersahabat baik dengannya. Asas ini adalah yang paling rapuh kerana zat atau fizikal akan berkurang seiring dengan peredaran hidup. Jika dulunya cantik, selepas kemalangan, hilang kaki sebelah, pasti kita akan meninggalkan dia. Jika dulu kuat, boleh tolong pukul orang, setelah berusia tiada kudrat, maka ditinggalkannya.

Bersahabat kerana keadaannya:
     Keadaan di sini merujuk kepada elemen keduniaan yang dipunyai oleh seseorang tersebut. Kerana kayanya, kerana popularitinya, kerana pangkatnya, kerana hartanya, kerana keretanya, kerana pandainya. Dengan keadaannya yang melebihi kita, diharapkan dengan bersahabat dengannya, dapatlah kita merasa tempias segala kelebihannya. Selain itu, dapat jugalah kita menggunakan kelebihannya untuk keuntungan diri sendiri. Berwaspadalah daripada menjadi  BFF yang sebegini kerana jika hilang segala keduniaan dimilikinya, maka seseorang itu akan meninggalkan rakanya.

Bersahabat kerana Akhirat:
     Asas yang ketiga ialah kerana kemenangan Akhirat. Hal ini merujuk kepada persahabatan yang membantu kita mendapat pahala dan kemenangan di Akhirat. Contohnya, kita bersahabat dengan BFF kita kerana dapat membantu kita dalam ibadah dan menambahkan ilmu agama. Kita bersahabat dengan BFF kita kerana sering mengajak kita bersolat dan berbuat kebaikan. Maka beruntunglah mereka yang mempunyai BFF sebegini yang dapat membantu membawa kepada kemenangan Akhirat.

Bersahabat kerana Allah:
     Inilah asas persahabatan yang paling kukuh kerana tiada padanya kelebihan dunia dan tujuan Akhirat. Melihat semua manusia adalah hamba Allah, maka dikasihinya sekalian manusia itu walaupun yang tidak dikenalinya. Tidak kira kenal atau tidak, miskin atau kaya, alim atau jahil, baik atau jahat, semuanya kerana Allah. Inilah tingkatan BFF yang paling tinggi dan sukar dicari, sama seperti kasih Abu Bakar kepada Rasulullah, hingga diberi nyawanya, hartanya dan anaknya kepada baginda kerana Allah. Maka dia pun dimuliakan Allah di dunia dan di langit.

     Begitulah tips persahabatan yang dapat kita buat panduan bersama. Ingat, apa asas dan tujuan kita bersahabat dengan BFF kita akan menentukan arah dan keputusan di akhirnya. Jika kerana dunia, dunialah yang kita perolehi, jika kerana Akhirat, Akhiratlah yang akan kita perolehi, dan jika kerana Allah, Allah lah yang akan kita perolehi. Semoga kita menjadi BFF yang terbaik dan mendapat BFF yang terbaik. Selamat bersahabat..=)..

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada, 

Friday, 6 April 2012

4 Langkah Transformasi Diri

     Assalamualaikum..Pelbagai formula dicari untuk mencipta transformasi diri yang hebat. Kini, WS ingin berkongsi 4 formula terhebat bagi meletuskan transformasi diri yang maksima. Langkah-langkah ini telah pun diterjemahkan oleh mereka-mereka yang hebat dan terbukti melonjakkan kejayaan mereka. Malah, menjadi pegangan dan prinsip kehidupan mereka. Jadi, jika anda mahu jadi sehebat mereka, jom ikuti 4 langkah hebat mengubah diri daripada seorang yang biasa-biasa kepada seorang yang hebat!

Tingkatkan Standard Anda
     Setiap kali anda ingin melakukan transformasi, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah meningkatkan standard anda. Transformasi ialah meningkatkan diri kita ke satu tahap yang baru. Jadi, tida maknanya transformasi anda jika hanya berani mensasarkan keputusan yang sama setiap ketika. Jika anda bertanya dengan mereka yang berjaya, inilah antara kunci utama kejayaan mereka. Sentiasa meningkatkan tahap dan mencabar diri mereka untuk menjadi lebih baik. Jika kita telah berjaya mencapai sesuatu, masanya pula untuk kita meningkatkan standard untuk mencapai sesuatu yang lebih tinggi. Inilah bukti betapa berjayanya transformasi diri anda.

Tingkatkan kepercayan diri sendiri
     Jika anda meningkatkan standard anda, namun meragui akan keupayaan anda, anda telah pun mensabotaj diri anda sendiri. Analoginya, kepercayaan diri adalah acuan, dan segala perbuatan, pemikiran dan perasaan kita adalah bentuk kuihnya. Jika bulat acuan kita, maka bulatlah kuih kita. Jika petak acuan kita, petaklah kuih kita. Kepercayaanlah yang membentuk apa yang kita lihat, apa yang kita rasa, apa yang mustahil, apa yang kita mampu. Menukar kepercayaan diri adalah pusat segala usaha transformasi diri. Mula mempercayai diri lebih daripada orang lain.

Tukar Strategi
     Untuk kejayaan yang hebat, anda memerlukan strategi yang hebat. Adalah mustahil bagi menggunakan strategi yang lemah terciptanya kejayaan yang hebat. Mana mungkin pasukan Malaysia bermain taktikal lemah jika berlawan dengan pasukan sehebat Barcelona. Begitu juga dengan transformasi diri. Kuncinya, jika anda mengulangi strategi yang sama, anda akan menghasilkan keputusan yang sama. Strategi terbaik ialah mendapatkan orang telah pun berjaya mendapat apa yang anda impikan. Dapatkan ilmu mereka, apa yang mereka lakukan, apa kepercayaan mereka dan bagaimana mereka berfikir. Mula bergerak berlandaskan strategi mereka ini.

Tawakkal
     Jika anda pernah menghadiri seminar-seminar transformasi diri, elemen inilah yang sering ditinggalkan. Ini kerana kebanyakannya ingin membuktikan bahawa anda mampu mengawal dan memandu arah segala perkara di dalam hidup anda. Kuasa segalanya di tangan anda. SALAH! Kita hanya mampu berusaha mengubah diri, Allah lah yang menentukan segalanya. Tanpa izin-Nya, buatlah sebanyak mana pun usaha pasti tidak terlaksana. Untuk menjana transformasi hebat, setelah berusaha, dekatkanlah diri kita dengan-Nya, mintalah pertolongan daripada-Nya, semoga usaha kita dipermudahkan untuk kita terus menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

     Itulah 4 strategi transformasi diri yang hebat. Kejayaan kita adalah lambang kehidupan. Sejauh mana anda telah memanfaatkan peluang kehidup terletak pada sejauh mana kejayaan yang anda cipta. Dan, kejayaan yang anda cipta bermula dengan langkah transformasi diri. Mulakan transformasi diri hari ini, semoga kita mampu mencipta kejayaan esok. Selamat Berjaya!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Monday, 27 February 2012

“Quote” Yang Pasti MengGEMPAKkan Anda!

     Assalamualaikum..Terasa hari anda perlahan? Prestasi semakin menurun? Gerak fizikal semakin lesu? Kurang bertenaga dan bermotivasi? Ketandusan idea dan inspirasi? Keletihan minda? Anda dihantui kelesuan momentum. Jadi, ayuh, kita GEMPAKkan kembali momentum untuk kembali cergas dan cerdas! Bagaimana? Antara cara yang paling mudah dan digemari WS ialah membaca “quote”.  Dan, "quote” pilihan WS bukanlah sekadar kata-kata picisan tetapi diambil daripada mereka sememangnya hebat dalam hidup. Yok, kita baca..

“Here’s to the crazy ones, the misfits, the rebels, the troublemakers.. The ones who see things differently. They’re not fond of rules. You can quote them, disagree with them, glorify or vilify them, but the only thing you can’t do is ignore them because they can change things. The push human race forward, and while some may see them as the crazy ones, we see genius, because the ones who are crazy enough to think that they can change the world, are the ones who do.” – Steve Jobs

“Give a stock clerk with a goal and I’ll give a man who will make history. Give a man with no goals and I’ll give a stock cler.” – J.C.Penny

“If you want to lead, you must learn. If you want to continue to lead, you must continue to learn” – John C. Maxwell

“Ask “Do I still love what I do or am I just doing what I do?” – John C. Maxwell

“Quality questions create a quality quality life. Successful people as better questions and as a result, they get better answers.” – Anthony Robbins

“Positive Energy is like a flicker of Light in the Darkness of Night. Pour the fuel of Excitement onto it and the Light will Shine Bright!” - Rizal Hassan

“Our life is a journey for which we are bound to make choices. These choices will determine the future that we are going to live. Make the best choice as your future depends on it. Your life is your choice!” -  Mohd Ikhwan

     Semangat? Usah biarkan provokasi minda dan fizikal menjadi halangan untuk mencipta hari yang lebih GEMPAK! Puncakkan momentum anda, GEMPAKkan prestasi anda. Ingat, kelesuan momentum hanyalah rintangan, bukannya penghalang kejayaan anda. Jadi, “gambate, gambate” guys! All the best!=)

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Wednesday, 22 February 2012

Cerita Stephen Covey dan Seorang Eksekutif

     Assalamualaikum..Kali ini WS ingin berkongsi satu kisah motivasi yang seharusnya dijadikan panduan dan tauladan untuk mencipta kejayaan yang gempak dalam hidup. Straight to the point, WS taknaklah berceloteh dan beriklan banyak-banyak, yok kita ikuti kisah yang gempak ini.
     Pada satu ketika, seorang “trainer” terkenal dunia, Stephen Covey telah dijemput oleh seorang eksekutif syarikat untuk memberi latihan kepada pekerja-pekerja syarikat tersebut. Sebelum bermulanya program latihan, Covey telah diberitahu oleh eksekutif syarikat tersebut bahawa organisasi mereka dirundung krisis yang sangat meruncing. Bukannya masalah pengurusan mahupun kewangan syarikat. Masalah tersebut ialah kepercayaan.
     Para pekerja tidak mempercayainya sebagai pemimpin dalam syarikat tersebut. Pelbagai konflik dan masalah antara eksekutif terbabit dengan para pekerjanya timbul menjadi bukti betapa seriusnya krisis kepercayaan terhadap beliau. Bimbang masalah tersebut makin jelas dan tidak terkawal membuatkan beliau memanggil Covey untuk memperbetul semula keadaan dan sikap pekerjanya. Maka berlangsunglah sesi lathan Covey bersama organisasi tersebut. Bukan sekadar seminar satu hari ataupun kursus 3,4 hari yang biasa kita jalani, tetapi 2 bulan!

     Namun, perkara yang sama masih tidak berubah. Kepercayaan para pekerja terhadap pemimpin syarikat mereka masih ditakuk dahulu biarpun telah diberi latihan selama 2 bulan. Hal yang demikian membuatkan Covey menjadi bingung. Apakah tidak cukup berkesan sesi latihan yang dikendalikan beliau atau ada masalah lain yang merentap kepercayaan mereka. Lalu, terlintas di benak Covey untuk bertanya sendiri kepada salah seorang pekerja syarikat tersebut akan permasalahan ini. Ternyata jawapan yang diberikan pekerja terbabit menghuraikan segala kekusutan mengenai krisis kepercayaan dalam organisasi tersebut.
     Permasalah kepercayaan tersebut berpunca daripada tingkah laku eksekutif itu sendiri. Dahulunya, keadaan semuanya begitu harmoni dan progresif, namun suatu hari, tersebar berita bahawa eksekutif tersebut telah menjalinkan hubungan sulit dengan salah seorang pekerjanya lantas mencetus pergolakan rumah tangga dengan isteri beliau. Bertitik tolak dari kejadian tersebut, kepercayaan di kalangan pekerja mula terhakis dan berlakulah krisis kepercayaan dalam organisasi. Hanya kerana masalah moral peribadi, reputasi dan kepercayaan terhadap beliau terkesan teruk.

     Kesimpulannya? Para pemimpin sekalian, mendapat kepercayaan bukan sahaja berdasarkan skil, ilmu dan pengalaman yang kita miliki, tetapi yang lebih penting, peribadi. Berintegriti, bermoral serta berakhlak baik adalah magnet yang bakal menarik kepercayaan di kalangan pengikut anda. Ingat, anda hanya ada 2 mata untuk melihat dari atas, tetapi ada ratusan mata yang melihat anda dari bawah. Oleh itu, jagalah setiap perlakuan anda kerana setiap tingkah laku anda mengundang persepsi di kalangan yang melihat. Tingkatkan keperibadian mulia, anda meningkatkan kepercayaan di mata mereka sebagai pemimpin. All the best guys!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Tuesday, 21 February 2012

4A Yang Perlu Disayang Oleh Seorang Pelajar Untuk Berjaya

     Assalamualaikum..Jika berbicara tentang sayang dalam kehidupan seorang pelajar, mereka lebih cenderong mengaitkannya dengan fenomena “coupling”. Yela, sayang Awek, sayang Abang, sayang Ayang. Masakan tidak, seusia 10 tahun sudah pandai menjalin cinta. Namun semua itu bukanlah A yang termasuk dalam 4A yang perlu diutamakan dalam kehidupan mereka. Untuk menjadi pelajar yang berjaya, terdapat 4A yang perlu disayangi iaitu:

       A: Allah
  • Terciptanya kita di atas muka bumi ini adalah dengan kehendak dan ketentuan Allah. Oleh yang demikian, seharusnya kita menyayangi Pencipta kita yang memberi ruang dan kesempatan untuk kita menghirup udara, merasai adanya keluarga, berteman serta berjaya dalam kehidupan. Jika ditinggalkan Allah dalam hidup kita, nescaya akan terumbang-ambing jadinya. Sentiasalah menyayangi Allah dengan menunaikan segala perintahNya agar kita sentiasa dilimpahi rahmat dalam kehidupan kita.
       A: Ayah dan Ibu:
  • Biar berapa pun umur kita, sebanyak manapun keputusan peperiksaan kita, setinggi manapun kejayaan kita, semuanya bertitik tolak daripada usaha keras ayah dan ibu. Tanpa pengorbanan mereka, mana mungkin kita melangkah ke sekolah, apatah lagi menjejak kaki ke menara gading. Setiap keringat, doa dan wang ringgit mereka seharusnya kita hargai dengan menyayangi mereka. Tiada apa yang diharapkan mereka melainkan menjadi anak yang soleh dan berjaya.
       A: Almuallim 
  • Atau dalam Bahasa Melayunya bermaksud guru. Mereka adalah orang kedua selepas ibu dan ayah yang bertungkus lumus memastikan kejayaan kita. Mengajar, menyemak kerja rumah, menyiapkan soalan ujian, mengadakan kelas tambahan, segalanya dilakukan demi merealisasikan kejayaan kita dalam pelajaran. Seharusnya pengorbanan tenaga dan masa khususnya membuatkan kita menyayangi mereka. Sentiasalah menghormati dan mendengar ajaran dan nasihat mereka sebagai manifestasi kasih sayang kita terhadap mereka.
       A: Ashab
  • Adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud sahabat. Jika dihitung dengan bilangan jam, 8 jam satu hari didarab dengan 5 hari persekolahan, 40 jam seminggu kita habiskan masa bersama sahabat-sahabat kita. Hampir 1/3 hari kita dilalui bersama mereka. Menjadi antara orang yang paling banyak ditemui dalam sehari, paling banyak bercakap dengannya dalam sehari, paling banyak membantu dalam kelas menuntut kita untuk juga menyayangi mereka. Berbuat baiklah dengan mereka serta saling membantu kerana jika tanpa mereka pastinya sepi hari kita di sekolah mahupun di rumah.
      Ha, pelajar sekalian, inilah 4A yang perlu anda utamakan dalam kehidupan anda.Selain daripada 4A ini bukanlah yang perlu diberi perhatian dan penjagaan lebih. Merekalah yang banyak mempengaruhi corak dan kejayaan dalam hidup. Sayangi 4A, kecapi kejayaan, Insyaallah..

Hustle up and Be GREAT!
Salam transfomasi daripada,

Saturday, 28 January 2012

Kecemerlangan Personaliti Komprehensif Mendepani Cabaran

     Assalamualaikum..Pemilikan dan penampilan personaliti cemerlang dalam apa jua profesion yang diceburi, baik sebagai pelajar, pekerja am, perguruan, kakitangan mahupun eksekutif memberi impak besar untuk melonjakkan kejayaan dalam bidang yang dijalani. Perlu diingat bahawa kecemerlangan personaliti bukan hanya tertumpu kepada ketampanan penampilan luaran sahaja, seperti pemakaian, pertuturan dan etika, bahkan aspek dalaman yang kerap kali tidak diketahui oleh umum.
     Dalam mebina kerjaya dan pembelajaran pemilikan kecemerlangan personaliti yang komprehensif adalah sangat penting. Pembahagian kecmerlangan personaliti seseorang dapat dikategorikan kepada tiga elemen personaliti utama iaitu:
  1. Kecemerlangan Penampilan
  2. Kecemerlangan Potensi
  3. Kecemerlangan Minda
     Kecemerlangan penampilan lebih terarah kepada pembawakan fizikal seseorang. Gaya, pakaian, etika serta pertuturan adalah antara elemen teras yang menjadi penilaian kecemerlangan personaliti seseorang berdasarkan faktor penampilan. Ketampanan penampilan bakal menjadikan anda bintang di hadapan mata-mata yang memandang anda. Inilah faktor terawal yang selalu diteliti ketika mendefinasikan kecemerlangan personaliti seseorang. Oleh yang demikian, elemen-elemen penampilan seharusnya dititikberatkan untuk melambangkan personaliti diri yang cemerlang.
     Yang keduanya ialah kecemerlangan personaliti berteraskan pengenalan potensi diri. Manusia telah diiktiraf oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini dan disertakan bersama perlantikan itu dengan potensi yang hebat. Seharusnya kita mula menggali potensi yang ada dan memaksimakan kekuatan diri untuk mencipta kejayaan dalam kehidupan. Kita akan dilabel sebagai “Loser” andai tidak percaya dan membangunkan potensi yang sedia ada ini. Maka, bina kecemerlangan personaliti dengan mengenal dan memaksimakan potensi diri.
     Kecemerlangan minda juga mencerminkan kecemerlangan personaliti diri. Lazimnya, kecemerlangan minda dinisbahkan kepada corak pandang kita terhadap dunia sekeliling kita, kematangan berfikir dan kawalan emosi yang mantap. Selalu berfikiran terbuka, positif, berilmu dan sentiasa dapat mengimbangi emosi dalam setiap keadaan adalah antara petanda seseorang mempunyai minda yang cemerlang. Mempunyai minda cemerlang dapat membantu survival anda di dalam dunia yang memerlukan kelasakan minda menghadapi realiti yang makin mencabar.
     Pengakhirannya, membentuk personaliti yang cemerlang bukan hanya dengan menumpukan kepada pembentukan fizikal, malah mengambil pembentukan potensi dan minda yang progresif. Mempunyai personaliti yang cemerlang bakal melonjakkan kehebatan dalam apa jua bidang yang kita ceburi sekarang. Bina personaliti cemerlang, anda membina hidup yang lebih cemerlang. All the best, guys!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Thursday, 26 January 2012

Teruskan Berusaha, Jangan Berputus Asa

Assalamualaikum.
Dalam hidup ini ada pelbagai jenis bentuk kerisauan yang sentiasa hadir dalam diri seseorang. Ianya adalah merupakan proses kehidupan sebagai seorang manusia yang tidak terlepas dari sebarang masalah. Antara kerisauan yang biasanya kita hadapi adalah mengenai masa hadapan kita. Apa yang kita akan lakukan pada masa hadapan? Nak kerja apa dah habis belajar nanti? Bila agaknya boleh berjaya seperti orang lain? Itulah beberapa contoh persoalan yang sentiasa bermain dalam fikiran kita.
Masa hadapan adalah perkara yang selalu menjadi kerisauan dalam diri kita. Kita sangat risau jika tidak dapat kerjaya yang baik di masa hadapan kerana kita sudah tentu mahu hidup dengan senang di masa hadapan. Bagi seorang pelajar, selepas belajar nanti siapa yang nak sara hidup kita jika bukan diri kita sendiri. Banyak perbelanjaan dan perkara yang perlu kita tanggung. Malah kita juga perlu membantu ibu bapa kita. Kita tidak tahu bagaimana nasib kita di masa hadapan nanti.
Masa yang lepas sudah pun berlalu. Namun kita mungkin rasa menyesal dengan masa lepas kerana menyalahkan diri kita sendiri. Kita akan rasa bersalah kenapa kita tidak belajar dengan bersungguh-sungguh masa zaman kanak-kanak dahulu. Jika kita rajin masa zaman remaja dulu sudah tentu dapat masuk ke universiti, dapat aliran dan bidang yang menjanjikan kerjaya yang lebih baik seperti doktor, farmasi, jurutera dan lain-lain. Itu semua adalah perkara biasa yang mungkin bermain dalam fikiran kita.

Bangkit Dari Kegagalan Lepas
Walau di mana sahaja tahap kita berada sekarang, kita masih boleh berubah dan berjaya dalam hidup kita. Masa yang lepas biarkan ianya lepas. Jadikan ianya sebagai pengajaran yang berguna dalam hidup kita. Kita masih ada masa lagi pada hari ini untuk melakukan sesuatu yang boleh mengubah nasib diri kita. Kita masih ada masa untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam apa sahaja kerja yang kita lakukan pada hari ini. Teruskan berusaha dengan penuh semangat yang kita sebenarnya boleh mengecapi kejayaan dalam hidup ini.
Orang yang berputus asa adalah orang yang rugi. Memang benar tersangatlah rugi bagi orang yang mudah berputus asa dalam hidupnya. Tidak ada orang yang dapat membantu jika mereka telah berputus asa dalam hidupnya. Kita sepatutnya jangan mudah berputus asa walaupun telah banyak kali kita gagal dalam hidup ini. Kegagalan adalah satu ujian dalam hidup ini. Lihatlah kepada orang-orang yang telah berjaya. Mereka juga pernah gagal dalam hidup mereka. Jadikan kejayaan mereka sebagai pencetus semangat untuk terus berjaya.

Bersyukur Atas Nikmat Yang Diperolehi
Kita sepatutnya bersyukur dengan apa sahaja nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita. Bersyukurlah dengan rezeki yang kita perolehi pada hari ini. Kita tidak tahu bila-bila masa sahaja ianya akan ditarik balik. Jangan kita jadi orang yang lupa diri dengan nikmat yang kita perolehi. Jika kita seorang yang bersyukur, mudah-mudahan nikmat yang kita perolehi hari ini akan semakin bertambah lagi.
Setiap orang akan dapat merasai nikmat dalam hidup ini. Nikmat bagi setiap orang adalah berbeza-beza. Kekayaan dengan harta benda bukanlah segala-galanya dalam hidup seseorang. Kebahagiaan hidup adalah nikmat yang sebenarnya. Sudah tentu kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat yang kita mahukan. Semoga Allah mencukupkan kita nikmat semasa di dunia, dan memperbanyakkan nikmat pada hari akhirat kelak.
-
Sebagai kesimpulan, dalam hidup ini banyak perkara yang berlaku akan sentiasa menguji kesabaran kita. Kadang-kadang apa yang kita telah usahakan tidak memberikan hasil seperti yang kita harapkan. Itu memang perkara yang biasa berlaku dalam hidup kita. Namun begitu, kita jangan lekas marah, mengeluh, putus asa dan sebagainya. Kita perlu ingat yang kita masih ada Allah yang sentiasa bersama dengan kita, kerana hanya kepadaNya tempat untuk kita meminta pertolongan. Berdoalah kepada Allah diwaktu susah dan senang.
Jika sudah berjaya pula, janganlah jadi orang yang lupa diri kerana kepada Allah lah tempat untuk kita bersyukur. Bersyukurlah kepadaNya atas segala nikmat yang kita perolehi pada hari ini. Kita tidak dapat melihat masa hadapan kita, tapi kita boleh mengubah masa hadapan kita supaya menjadi lebih baik. Apa sahaja yang kita lakukan pada hari ini akan memberi kesan kepada masa hadapan kita.
“Kita tidak dapat mengubah apa yang berlaku pada hari semalam, tapi kita boleh menjadikan hari esok lebih baik dari hari semalam.”

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Wednesday, 25 January 2012

"Gerenti" Cemerlang?

     Assalamualaikum.. Pada tanggal 24/03/2011 terpampang di dada akhbar “Keputusan SPM Terbaik Sejak 2006”. Keratan akhbar itu melaporkan seramai 10,488 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, daripada jumlah itu, 9,239 calon membabitkan sekolah KPM dan keputusan itu meningkat berbanding 7,987 pada 2009. (Sumber)
     Pada tarikh 17/12/2011, terpampang di dada akhbar “Perkahwinan Gay Ariff Alfia, Bukan Salah Ibu Mengandung”. Selepas itu, sensasi dengan isu pakaian seorang pelajar cemerlang SPM yang dilaporkan dalam artikel bertajuk “Saya Tetap Melayu Islam” yang menggemparkan negara. Harian Metro pada 20 Mac 2005 pula melaporkan “Pelajar Cemerlang Ceroboh Sekolah”.

     Ternyata dua senario yang secara kasarnya tampak berbeza, namun jika diperinci menampilkan persoalan yang serupa. Apa itu cemerlang? Itulah persoalan yang terlahir tatkala kita mengamati perkaitan antara kedua-kedua senario di atas. Biarpun ramai yang cemerlang di dalam akademik, namun mereka gagal daripada segi sahsiahnya. Apakah golongan seperti ini harus dibanggakan dengan kecemerlangan yang hanya separuh?
     Dalam merungkai senario di atas, pentafsiran “cemerlang” dalam kebanyakkan benak rakyat Malaysia ternyata singkat. Ramai mengaitkan kecemerlangan hanya dengan meraih A paling banyak, markah paling tinggi, CGPA paling tinggi. Betul, mencapai keputusan cemerlang adalah target yang perlu dilaksanakan, namun cukupkah sekadar itu? Adakah hanya itu bekalan yang ingin kita lengkapkan untuk anak bangsa dan pewaris ummah untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam era yang penuh dengan ranjau dan cabaran ini?

     Secara amnya, kecemerlangan manusia dibahagikan kepada 4 asas utama ,iaitu kecemerlangan intelek, kecemerlangan fizikal, kecemerlangan emosi dan kecemerlangan spiritual. Melengkapkan mereka dengan kecemerlangan yang komprehensif adalah cara terbaik untuk terus melahirkan modal insan dan ummah yang berwibawa dan disegani. Jika fokus hanya diberikan kepada satu bahagian kecemerlangan sahaja iaitu kecemerlangan intelek, inilah bahana yang bakal menanti mereka. Begitu juga dengan 3 kecemerlangan yang lain. Jika hanya ditumpukan pada salah satu cabang kecemerlangan sahaja, perkara yang sama bakal berlaku.
     Mereka yang tidak disiapkan dengan kekuatan fizikal, emosi dan benteng agama untuk bakal menghadapi kesukaran  mempertahankan diri daripada serangan anasir-anasir negatif. Penjajahan pada era globalisasi ini bukan sekadar berbentuk penjajahan negara, tetapi lebih kepada penjajahan minda. Ingin ditakluk setiap minda di dunia ini dengan corak pemikiran yang dilakar oleh mereka agar sentiasa mengikut telunjuk mereka. Dan ternyata, ramai daripada kita telah pun dijajah mereka secara minda. Sudahlah kita belajar mengikut sukatan orang Barat, buku rujukan mereka, perangai dan fesyen pun sudah jadi macam mereka. Apa mungkin masih kita berani mengatakan diri masih Islam?

     Kegilaan untuk hanya mencapai keupayaan intelek tinggi bakal memakan diri. Benar mereka dikatakan pandai, tetapi pada masa yang sama kita dapat melihat “kurang pandainya” mereka dalam menepis pengaruh-pengaruh luar. Buktinya? Lihat sahaja insiden-insiden di atas. Perlu diingat,cemerlang akademik adalah TIKET untuk berjaya tetapi bukannya "GUARANTEE" untuk berjaya di dunia ini. Kita memerlukan lebih daripada itu untuk terus “survive” di masa kini. Ingatlah firman Allah “..Sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka dia telah beruntung. Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Tuesday, 10 January 2012

Resepi Motivasi: Garam, Gula dan Air Kosong

     Assalamualaikum..Siapa sini sempat tengok final Masterchef haritu? WS pun sempat tengok. Bukan main sedap tengok hidangan yang mereka persembahkan. Nampak sedap, rasa pun sedap. WS rasa macam nak cubalah, tapi kena pandai goreng telur dululah. Sebab? WS tak pandai masak sangat sebenarnya. Sssshhhh, jangan gelak. Hehe. Terlanjur bercerita hal masakan, terlintas di benak WS sesuatu yang menarik ketika menonton rancangan tersebut. Garam, gula dan air kosong. Apa kaitannya dengan motivasi?

     Garam adalah diibaratkan sebagai masalah yang kita hadapi dalam kehidupan kita. Melihatkan masakan, adalah tidak sah jika sebarang masakan tidak menggunakan garam. Goreng telur pun pakai garam kan? Secukup rasa pastinya enak masakan kita. Jika terlebih, ha, menyembur-nyembur masin jadinya. Begitulah juga kehidupan kita. Sedikit permasalahan yang timbul itu menjadikan hidup ini lebih berwarna. Ada saat untuk kita menangis, terasa, kecewa.
     Segala perasaan ini tibul dek permalasahan yang berlaku di sekeliling kita. Ketiadaan masalah juga menjadikan hidup ini seolah-olah sepi dan layu. Masalahlah yang menjadikan kita lebih tabah, matang dan kuat untuk menjalani kehidupan. Tapi, ingat, usah berlebihan dalam masalah. Umpama garam yang terlebih dalam masakan, berlebihan dalam masalah membuatkan kita hidup porak peranda. Jika ada peneylesaian yang lebih mudah, selesaikannya dengan cepat. Usah berlebihan menimbulkan masalah untuk membuktikan anda mempunyai hati waja, sebenarnya orang melihat anda sebagai kurang cerdik, menyiksa diri sendiri.

    Gula diibaratkan kejayaan dalam kehidupan. Tentunya manis apabila segala yang diimpikan menjadi kenyataan dan kejayaan. Graduasi universiti, kenaikan pangkat, bercuti, keuntungan perniagaan, kaya dan berharta, segalanya meninggalkan kenangan manis dalam kehidupan. Dan, setiap kali menoleh kembali kepada setiap kejayaan kita, senyuman lantas terukir, menandakan nikmatnya kita berjaya. Sebagaimana terasa nikmatnya menghirup milo ais yang cukup rasa manisnya, kopi yang seimbang rasa manisnya dan teh tarik yang “kaw” adunan manisnya.
     Namun, terlebih manis mengundang penyakit. Sinonimnya, diabetes. Begitu juga dengan kejayaan. Andai kita terus hanyut mengejar kejayaa dan kemanisan hidup dunia, pasti pertimbangan syariah makin diketepikan. Buat apa sahaja untuk kejayaan. Jalan kotor, tipu, rasuah, asalkan berjaya. Maka, ingatlah, bersederhanalah dalam mengejar kejayaan, kerana kejayaan di Akhirat adalah yang paling hakiki.

     Air kosong pula umpama kehidupan kita. Kita boleh untuk terus meminumnya. Menghilangkan dahaga, namun tiada rasa. Adanya garam dan gula dalam segelas air kosong pastinya menjadikan minuman itu lebih berperisa. Garam menbuatkannya rasa masin, gula menjadikannya manis. Dengan permasalahan dan kejayaan, kehidupan kita lebih berperisa.
     Kita mampu untuk bermain selamat dalam kehidupan tanpa melibatkan diri dengan masalah dan kejayaan. Lari daripada masalah, lari daripada mengambil risiko untuk mencipta kejayaan. Rasanya seperti setiap hari anda hanya meneguk air kosong,tanpa sebarang rasa. Sekali-sekala teringin juga untuk merasa sesuatu dalam tegukan anda. Itulah peranannya gula dan garam dalam air kosong anda.

     Setiap masalah dan kejayaan adalah rasa yang membuatkan kehidupan kosong kita menjadi lebih berperisa. Usah takut dengan masalah, usah gentar mengejar kejayaan. Namun, usahlah berlebih-lebih dalam kedua-duanya, kerana berlebihan itu pastinya mengundang sengsara di hujung hari. Sentiasa bersederhana dalam masalah dan kejayaan. Ibarat garam, gula dan air kosong, itulah perisa kehidupan kita. Live GREAT, guys!

Hustle up anda Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More