Friday, 6 April 2012

4 Langkah Transformasi Diri

     Assalamualaikum..Pelbagai formula dicari untuk mencipta transformasi diri yang hebat. Kini, WS ingin berkongsi 4 formula terhebat bagi meletuskan transformasi diri yang maksima. Langkah-langkah ini telah pun diterjemahkan oleh mereka-mereka yang hebat dan terbukti melonjakkan kejayaan mereka. Malah, menjadi pegangan dan prinsip kehidupan mereka. Jadi, jika anda mahu jadi sehebat mereka, jom ikuti 4 langkah hebat mengubah diri daripada seorang yang biasa-biasa kepada seorang yang hebat!

Tingkatkan Standard Anda
     Setiap kali anda ingin melakukan transformasi, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah meningkatkan standard anda. Transformasi ialah meningkatkan diri kita ke satu tahap yang baru. Jadi, tida maknanya transformasi anda jika hanya berani mensasarkan keputusan yang sama setiap ketika. Jika anda bertanya dengan mereka yang berjaya, inilah antara kunci utama kejayaan mereka. Sentiasa meningkatkan tahap dan mencabar diri mereka untuk menjadi lebih baik. Jika kita telah berjaya mencapai sesuatu, masanya pula untuk kita meningkatkan standard untuk mencapai sesuatu yang lebih tinggi. Inilah bukti betapa berjayanya transformasi diri anda.

Tingkatkan kepercayan diri sendiri
     Jika anda meningkatkan standard anda, namun meragui akan keupayaan anda, anda telah pun mensabotaj diri anda sendiri. Analoginya, kepercayaan diri adalah acuan, dan segala perbuatan, pemikiran dan perasaan kita adalah bentuk kuihnya. Jika bulat acuan kita, maka bulatlah kuih kita. Jika petak acuan kita, petaklah kuih kita. Kepercayaanlah yang membentuk apa yang kita lihat, apa yang kita rasa, apa yang mustahil, apa yang kita mampu. Menukar kepercayaan diri adalah pusat segala usaha transformasi diri. Mula mempercayai diri lebih daripada orang lain.

Tukar Strategi
     Untuk kejayaan yang hebat, anda memerlukan strategi yang hebat. Adalah mustahil bagi menggunakan strategi yang lemah terciptanya kejayaan yang hebat. Mana mungkin pasukan Malaysia bermain taktikal lemah jika berlawan dengan pasukan sehebat Barcelona. Begitu juga dengan transformasi diri. Kuncinya, jika anda mengulangi strategi yang sama, anda akan menghasilkan keputusan yang sama. Strategi terbaik ialah mendapatkan orang telah pun berjaya mendapat apa yang anda impikan. Dapatkan ilmu mereka, apa yang mereka lakukan, apa kepercayaan mereka dan bagaimana mereka berfikir. Mula bergerak berlandaskan strategi mereka ini.

Tawakkal
     Jika anda pernah menghadiri seminar-seminar transformasi diri, elemen inilah yang sering ditinggalkan. Ini kerana kebanyakannya ingin membuktikan bahawa anda mampu mengawal dan memandu arah segala perkara di dalam hidup anda. Kuasa segalanya di tangan anda. SALAH! Kita hanya mampu berusaha mengubah diri, Allah lah yang menentukan segalanya. Tanpa izin-Nya, buatlah sebanyak mana pun usaha pasti tidak terlaksana. Untuk menjana transformasi hebat, setelah berusaha, dekatkanlah diri kita dengan-Nya, mintalah pertolongan daripada-Nya, semoga usaha kita dipermudahkan untuk kita terus menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

     Itulah 4 strategi transformasi diri yang hebat. Kejayaan kita adalah lambang kehidupan. Sejauh mana anda telah memanfaatkan peluang kehidup terletak pada sejauh mana kejayaan yang anda cipta. Dan, kejayaan yang anda cipta bermula dengan langkah transformasi diri. Mulakan transformasi diri hari ini, semoga kita mampu mencipta kejayaan esok. Selamat Berjaya!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More