Wednesday, 6 June 2012

BFF Yang "Awesome": Tips Daripada Sairus Salikin

     Assalamualaikum..Siapa kat sini yang ada BFF? Kebanyakan daripada kita mempunyai ramai kawan, tetapi daripada ramai-ramai dalam senarai kawan anda, mesti ada segelintir yang anda gelarkan mereka sebagai BFF (Best Friend Forever). Wah, “forever” tu! WS ada BFF, mesti anda pun ada BFF kan. Mereka yang kita anggap BFF ini lazimnya adalah mereka yang begitu akrab dan memahami peribadi kita. Senang cakap, mereka yang sekepala dengan kita lah.

     Menariknya, asas persahabatan itulah yang akan menentukan sekukuh mana dan seikhlas mana persahabatan yang terjalin di antara anda dan BFF anda. Untuk itu, kita akan menyingkap tips persahabatan yang dipetik daripada sebuah kitab masyhur, Sairus Salikin. Menurut kitab ini, persahabatan terasas di atas empat perkara, dan empat perkara inilah yang akan menentukan keutuhan dan hala tuju sebuah persahabatan.

Bersahabat kerana zatnya:
     Asas yang pertama ialah persahabatan yang terjalin kerana zat atau keadaan fizikal seseorang itu. Keadaan fizikalnya yang menarik membuat kita terdetik untuk menjalinkan persahabatan dengan BFF kita. Contohnya, disebabkan dia “hensem”, cantik, bertubuh sasa, tinggi, kuat, sempurna penampilan, maka kita pun bersahabat baik dengannya. Asas ini adalah yang paling rapuh kerana zat atau fizikal akan berkurang seiring dengan peredaran hidup. Jika dulunya cantik, selepas kemalangan, hilang kaki sebelah, pasti kita akan meninggalkan dia. Jika dulu kuat, boleh tolong pukul orang, setelah berusia tiada kudrat, maka ditinggalkannya.

Bersahabat kerana keadaannya:
     Keadaan di sini merujuk kepada elemen keduniaan yang dipunyai oleh seseorang tersebut. Kerana kayanya, kerana popularitinya, kerana pangkatnya, kerana hartanya, kerana keretanya, kerana pandainya. Dengan keadaannya yang melebihi kita, diharapkan dengan bersahabat dengannya, dapatlah kita merasa tempias segala kelebihannya. Selain itu, dapat jugalah kita menggunakan kelebihannya untuk keuntungan diri sendiri. Berwaspadalah daripada menjadi  BFF yang sebegini kerana jika hilang segala keduniaan dimilikinya, maka seseorang itu akan meninggalkan rakanya.

Bersahabat kerana Akhirat:
     Asas yang ketiga ialah kerana kemenangan Akhirat. Hal ini merujuk kepada persahabatan yang membantu kita mendapat pahala dan kemenangan di Akhirat. Contohnya, kita bersahabat dengan BFF kita kerana dapat membantu kita dalam ibadah dan menambahkan ilmu agama. Kita bersahabat dengan BFF kita kerana sering mengajak kita bersolat dan berbuat kebaikan. Maka beruntunglah mereka yang mempunyai BFF sebegini yang dapat membantu membawa kepada kemenangan Akhirat.

Bersahabat kerana Allah:
     Inilah asas persahabatan yang paling kukuh kerana tiada padanya kelebihan dunia dan tujuan Akhirat. Melihat semua manusia adalah hamba Allah, maka dikasihinya sekalian manusia itu walaupun yang tidak dikenalinya. Tidak kira kenal atau tidak, miskin atau kaya, alim atau jahil, baik atau jahat, semuanya kerana Allah. Inilah tingkatan BFF yang paling tinggi dan sukar dicari, sama seperti kasih Abu Bakar kepada Rasulullah, hingga diberi nyawanya, hartanya dan anaknya kepada baginda kerana Allah. Maka dia pun dimuliakan Allah di dunia dan di langit.

     Begitulah tips persahabatan yang dapat kita buat panduan bersama. Ingat, apa asas dan tujuan kita bersahabat dengan BFF kita akan menentukan arah dan keputusan di akhirnya. Jika kerana dunia, dunialah yang kita perolehi, jika kerana Akhirat, Akhiratlah yang akan kita perolehi, dan jika kerana Allah, Allah lah yang akan kita perolehi. Semoga kita menjadi BFF yang terbaik dan mendapat BFF yang terbaik. Selamat bersahabat..=)..

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada, 

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More