Segala Puja dan puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Sayyidul Mukminin, junjungan Nabi Muhammad (saw) dan kepada keluarga dan sahabat baginda sekaliannya.
Telah menjadi satu kebiasaan, kita akan melakukan sesuatu benda dengan bersungguh-sungguh sekiranya mendapat ganjaran yang setimpal. Pekerja akan bekerja bersungguh-sungguh sekiranya mendapat insentif dari majikan. Kanak-kanak akan buat apa yang disuruh sekiranya diberi hadiah gula-gula. Pelajar akan belajar dengan tekun untuk mendapat gelaran pelajar cemerlang. Ahli politik akan memenuhi janji pilihan raya untuk mendapat kembali sokongan pengundi. Malah Nabi (saw) juga memberi motivasi syurga agar kita rajin beribadah.
Tidak keterlaluan jika saya katakan kita akan berasa kecewa, ‘frust’, ‘disapointed’ dan stress jika kerja yang dilakukan tak mendapat habuan yang dihajatkan. Lalu amanah dikhianati, kerja ditinggalkan dan porak perandalah organisasi.
Ikhlas boleh diumpamakan sebagai semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada malam yang gelap. Tiada siapa akan nampak semut itu walhal ia wujud di situ. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui kewujudan ikhlas di hati. Ikhlas tidak boleh ditemui pada lidah yang manis berkata-kata. Ia tidak dapat dilihat pada senyuman yang dibuat-buat.
Orang yang ikhlas tidak akan berputus asa sekiranya objektif yang cuba dicapai tidak tergapai. Orang yang ikhlas tidak akan kecewa sekiranya ia dicerca manusia, tidak akan marah sekiranya tak naik pangkat, tak akan stress sekiranya ada yang iri hati, tak akan dengki sekiranya orang lain berjaya, tak akan sedih kalau dipandang hina dan akan terus bekerja sehingga hujung usia.
Sebab? Objektif orang ikhlas adalah untuk mendapat tempat di sisi Allah. Pujian manusia bukan satu keutamaan, maka cercaan manusia bukan satu halangan. Pangkat tak penting, yang penting adalah darjat mulia di sisi Allah. Mereka mengharapkan kebaikan pada orang yang iri hati dan gembira melihat orang lain berjaya. Mereka berasa tenang gembira kerana mulia pada pandangan Allah walaupun hina pada mata manusia. Mereka tak akan berhenti bekerja kerana tuntutan ikhlas ialah melakukan kerja sehabis baik. Allah itu Maha Baik dan hanya menerima yang terbaik!
Ah! hebatnya orang ikhlas! Rasa tenang dan gembira itu sentiasa ada. Tiada buruk sangka apatah lagi sengketa. Hasil kerja mereka hebat dan professional. Jika terpaksa menempuh pelbagai cabaran, ia akan dihadapi dengan tenang. Setenang air di laut. Sesekali laut bergelora ia akan tenang kembali. Orang yang beriman akan bersyukur dengan nikmat dan bersabar dengan ujian. Kedua-duanya baik buat mereka.
“Perumpamaan orang beriman yang ikhlas sangat unik. Mereka bagaikan pohon yang lembut batangnya. Sesekali ia bongkok tertunduk dipukul angin dugaan, namun ia kembali tegak keesokan harinya kerana kuatnya tulang keyakinan kepada Allah. Tempat dan objektif orang yang ikhlas.”
Ikhlaskan diri anda, InsyaAllah Allah sayang, manusia pun sayang. Simpan keikhlasan itu untuk Allah. Kerana ia tak dapat dilihat walaupun diri kita sendiri.
Kalam dari Salafussoleh:
“Sesiapa yang nampak keikhlasan dalam keikhlasan mereka, maka keikhlasan itu memerlukan lebih keikhlasan.”
*Artikel kiriman Muhammad Nur Fadzly
Bagi anda yang ingin berkongsi idea dan cetusan minda anda di Laman Motivasi #1 Anda, emailkan penulisan anda ke ukhwah86@hotmail.com. Segala kiriman anda amatlah dalu-alukan dan dihargai..=).
Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,
0 comments:
Post a Comment