Wednesday, 25 January 2012

"Gerenti" Cemerlang?

     Assalamualaikum.. Pada tanggal 24/03/2011 terpampang di dada akhbar “Keputusan SPM Terbaik Sejak 2006”. Keratan akhbar itu melaporkan seramai 10,488 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, daripada jumlah itu, 9,239 calon membabitkan sekolah KPM dan keputusan itu meningkat berbanding 7,987 pada 2009. (Sumber)
     Pada tarikh 17/12/2011, terpampang di dada akhbar “Perkahwinan Gay Ariff Alfia, Bukan Salah Ibu Mengandung”. Selepas itu, sensasi dengan isu pakaian seorang pelajar cemerlang SPM yang dilaporkan dalam artikel bertajuk “Saya Tetap Melayu Islam” yang menggemparkan negara. Harian Metro pada 20 Mac 2005 pula melaporkan “Pelajar Cemerlang Ceroboh Sekolah”.

     Ternyata dua senario yang secara kasarnya tampak berbeza, namun jika diperinci menampilkan persoalan yang serupa. Apa itu cemerlang? Itulah persoalan yang terlahir tatkala kita mengamati perkaitan antara kedua-kedua senario di atas. Biarpun ramai yang cemerlang di dalam akademik, namun mereka gagal daripada segi sahsiahnya. Apakah golongan seperti ini harus dibanggakan dengan kecemerlangan yang hanya separuh?
     Dalam merungkai senario di atas, pentafsiran “cemerlang” dalam kebanyakkan benak rakyat Malaysia ternyata singkat. Ramai mengaitkan kecemerlangan hanya dengan meraih A paling banyak, markah paling tinggi, CGPA paling tinggi. Betul, mencapai keputusan cemerlang adalah target yang perlu dilaksanakan, namun cukupkah sekadar itu? Adakah hanya itu bekalan yang ingin kita lengkapkan untuk anak bangsa dan pewaris ummah untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam era yang penuh dengan ranjau dan cabaran ini?

     Secara amnya, kecemerlangan manusia dibahagikan kepada 4 asas utama ,iaitu kecemerlangan intelek, kecemerlangan fizikal, kecemerlangan emosi dan kecemerlangan spiritual. Melengkapkan mereka dengan kecemerlangan yang komprehensif adalah cara terbaik untuk terus melahirkan modal insan dan ummah yang berwibawa dan disegani. Jika fokus hanya diberikan kepada satu bahagian kecemerlangan sahaja iaitu kecemerlangan intelek, inilah bahana yang bakal menanti mereka. Begitu juga dengan 3 kecemerlangan yang lain. Jika hanya ditumpukan pada salah satu cabang kecemerlangan sahaja, perkara yang sama bakal berlaku.
     Mereka yang tidak disiapkan dengan kekuatan fizikal, emosi dan benteng agama untuk bakal menghadapi kesukaran  mempertahankan diri daripada serangan anasir-anasir negatif. Penjajahan pada era globalisasi ini bukan sekadar berbentuk penjajahan negara, tetapi lebih kepada penjajahan minda. Ingin ditakluk setiap minda di dunia ini dengan corak pemikiran yang dilakar oleh mereka agar sentiasa mengikut telunjuk mereka. Dan ternyata, ramai daripada kita telah pun dijajah mereka secara minda. Sudahlah kita belajar mengikut sukatan orang Barat, buku rujukan mereka, perangai dan fesyen pun sudah jadi macam mereka. Apa mungkin masih kita berani mengatakan diri masih Islam?

     Kegilaan untuk hanya mencapai keupayaan intelek tinggi bakal memakan diri. Benar mereka dikatakan pandai, tetapi pada masa yang sama kita dapat melihat “kurang pandainya” mereka dalam menepis pengaruh-pengaruh luar. Buktinya? Lihat sahaja insiden-insiden di atas. Perlu diingat,cemerlang akademik adalah TIKET untuk berjaya tetapi bukannya "GUARANTEE" untuk berjaya di dunia ini. Kita memerlukan lebih daripada itu untuk terus “survive” di masa kini. Ingatlah firman Allah “..Sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga maka dia telah beruntung. Kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More