Assalamualaikum..Jika berbicara tentang sayang dalam kehidupan seorang pelajar, mereka lebih cenderong mengaitkannya dengan fenomena “coupling”. Yela, sayang Awek, sayang Abang, sayang Ayang. Masakan tidak, seusia 10 tahun sudah pandai menjalin cinta. Namun semua itu bukanlah A yang termasuk dalam 4A yang perlu diutamakan dalam kehidupan mereka. Untuk menjadi pelajar yang berjaya, terdapat 4A yang perlu disayangi iaitu:
A: Allah
- Terciptanya kita di atas muka bumi ini adalah dengan kehendak dan ketentuan Allah. Oleh yang demikian, seharusnya kita menyayangi Pencipta kita yang memberi ruang dan kesempatan untuk kita menghirup udara, merasai adanya keluarga, berteman serta berjaya dalam kehidupan. Jika ditinggalkan Allah dalam hidup kita, nescaya akan terumbang-ambing jadinya. Sentiasalah menyayangi Allah dengan menunaikan segala perintahNya agar kita sentiasa dilimpahi rahmat dalam kehidupan kita.
A: Ayah dan Ibu:
- Biar berapa pun umur kita, sebanyak manapun keputusan peperiksaan kita, setinggi manapun kejayaan kita, semuanya bertitik tolak daripada usaha keras ayah dan ibu. Tanpa pengorbanan mereka, mana mungkin kita melangkah ke sekolah, apatah lagi menjejak kaki ke menara gading. Setiap keringat, doa dan wang ringgit mereka seharusnya kita hargai dengan menyayangi mereka. Tiada apa yang diharapkan mereka melainkan menjadi anak yang soleh dan berjaya.
A: Almuallim
- Atau dalam Bahasa Melayunya bermaksud guru. Mereka adalah orang kedua selepas ibu dan ayah yang bertungkus lumus memastikan kejayaan kita. Mengajar, menyemak kerja rumah, menyiapkan soalan ujian, mengadakan kelas tambahan, segalanya dilakukan demi merealisasikan kejayaan kita dalam pelajaran. Seharusnya pengorbanan tenaga dan masa khususnya membuatkan kita menyayangi mereka. Sentiasalah menghormati dan mendengar ajaran dan nasihat mereka sebagai manifestasi kasih sayang kita terhadap mereka.
A: Ashab
- Adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud sahabat. Jika dihitung dengan bilangan jam, 8 jam satu hari didarab dengan 5 hari persekolahan, 40 jam seminggu kita habiskan masa bersama sahabat-sahabat kita. Hampir 1/3 hari kita dilalui bersama mereka. Menjadi antara orang yang paling banyak ditemui dalam sehari, paling banyak bercakap dengannya dalam sehari, paling banyak membantu dalam kelas menuntut kita untuk juga menyayangi mereka. Berbuat baiklah dengan mereka serta saling membantu kerana jika tanpa mereka pastinya sepi hari kita di sekolah mahupun di rumah.
Ha, pelajar sekalian, inilah 4A yang perlu anda utamakan dalam kehidupan anda.Selain daripada 4A ini bukanlah yang perlu diberi perhatian dan penjagaan lebih. Merekalah yang banyak mempengaruhi corak dan kejayaan dalam hidup. Sayangi 4A, kecapi kejayaan, Insyaallah..
Hustle up and Be GREAT!
Salam transfomasi daripada,
0 comments:
Post a Comment