Friday 27 April 2012

Anda Jiran Hebat! – Bahagian 1

     Assalamualaikum..Anda ada jiran? Sudah tentu, setiap daripada kita mempunyai jiran dalam kehidupan kita. Baik jiran yang dekat, yang jauh. Jiran yang rapat, jiran yang kurang mesra. Jiran yang baik, jiran yang bermasalah. Jiran berkeluarga, jiran yang bujang. Apa jua situasinya, kita semua mempunyai jiran. Tetapi, adakah kita seorang jiran yang hebat? Mengapa perlu kita menjadi jiran yang hebat? Inilah pokok perkongsian dalam ruang kali ini.

     Ayuh, kita lihat sejenak 2 potong hadith Rasulullah ini sebagai permulaan. “Tidak masuk syurga orang yang jirannya tidak merasa aman dengan kejahatannya.”  Dalam satu lagi hadith, Rasulullah bersabda “Tidak beriman. Tidak beriman. Tidak beriman. Jiran yang menyebabkan jiran yang lain tidak merasa aman dengan kejahatannya.” Melihatkan dua petikan hadith ini, sudah jelas peri pentingnya kita untuk menjadi jiran yang hebat. Menjadi jiran yang hebat adalah tuntutan Rasulullah.

     Memandangkan jiran adalah orang yang terdekat dengan kita, maka kita dituntut untuk sentiasa melakukan kebaikan dan kebajikan terhadap mereka. Oleh sebab ini jugalah Rasulullah memberi amaran bahawa kita bakal dihalang daripada memasuki syurga asbab kejanggalan perhubungan antara kita dengan jiran kita. Penghayatan erti jiran yang hebat yang dibawa oleh Rasulullah ini dapat kita lihat daripada kisah-kisah para alim ulama ketika berurusan dengan jiran mereka. Antaranya, kisah ulama terkenal Malik Bin Dinar dengan jirannya, seorang Yahudi.

     Malik bin Dinar menyewa sebuah rumah bersebelahan dengan rumah seorang Yahudi. Yahudi tersebut dengan sengaja memindahkan tandasnya bersebelahan dengan rumah yang disewa oleh Malik. Dinding pemisah antara keduanya yang sudah reput menyebabkan air najis dari tandas rumah Yahudi itu kerap kali membasahi rumah yang disewa oleh Malik, termasuklah tempat solat beliau. Tetapi beliau sangat sabar dan tidak pernah merungut atau marah.

     Setiap kali hendak solat , Malik akan membersihkan tempat solatnya. Yahudi berkenaan merasa hairan melihatkan kesabaran beliau. Lalu, suatu hari Yahudi tersebut bertandang ke rumah Malik dan bertanya hal tersebut. Lantas Malik menjawab "Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Malaikat Jibril sentiasa berwasiat kepada baginda tentang kejiranan, sehingga wujud kenyataan bahawa jiran juga berhak memperolehi harta warisan." Selepas mendengar jawapan daripada Malik, Yahudi tersebut terus memeluk Islam.

     Begitu besar penghayatan para ulama tentang pesan Rasulullah agar berbuat baik terhadap jiran. Ini kerana mereka memahami dan mengetahui hak jiran yang perlu mereka tunaikan dan pelihara serta ganjaran yang bakal menanti untuk jiran yang hebat. Kita juga perlu memiliki penghayatan sedemikian. Dengannya, hubungan kita dengan jiran kita akan sentiasa harmoni dan berlandaskan sunnah. Penghayatan sebegitu rupa juga seterusnya jika dihayati seluruh jiran, akan wujudlah suasana kejiranan yang kondusif dan aman.

     Jelaslah kepada kita bahawa berbuat baik kepada jiran adalah kewajipan ke atas setiap kita. Pesanan Rasulullah berkenaan jiran wajar dihayati sebaiknya dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan kita. Jiran boleh menjadi tiket kita ke Syurga, juga pasport kita menuju Neraka. Oleh yang demikian, haruslah kita sentiasa menjadi jiran yang hebat! Nantikan Anda Jiran Hebat! Bahagian 2 yang akan mengupas bagaimana cara untuk kita menjadi jiran yang hebat. Anda Jiran Hebat!

Hustle upand Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More