Kes 1
Perut kosong meraung-raung minta diisi, rasa lapar menghiris-hiris ulu hati. Kaki bergegas ke kafe untuk makan tengah hari. 10 minit lagi ada kelas. Nasi putih, ayam masak cili api ulam pegaga dan sambal belacan menjadi pilihan. “Huhu, alamat bau belacanlah kalau makan pakai tangan. Pakai sudu jelah”.
Tengah sedap-sedap makan, datang seorang kawan menegur. “Makan ikut cara barat syeikh?? Makan pakai tanganlah. Sunnah nabi tu”. Berdesing telinga, namun mulut masih tersenyum meraikan teguran sahabat. “Alhamdulillah, kau makan pakai tangan lagi afdhal, dapat pahala”
Teringat cerita Cikgu Midah, cikgu sains ketika di sekolah. “Jari kita mengandungi enzim-enzim yang perlu bagi memudahkan pencernaan makanan dalam perut, sebab tu kalau awak sentuh makanan pakai jari, makanan mudah basi dan sebab tu lah Nabi SAW syorkan kita makan pakai tangan dan hisap jari selepas makan”.
Kawan saya yang tadi tu dah selesai makan, saya lihat di pinggannya masih tertinggal separuh nasi. Saya menegur “Tak habis makan syeikh?? Jangan membazir, Allah marah, Nabi pun tak suka, kan sunnah jugak tu??” Giliran dia untuk merasa segan. “Tak laratlah, tadi terambil makanan banyak pula”. “Selalu sangat kita beriya-iya nak ikut sunnah Nabi, tapi kita lupa nak ikut cara Nabi berfikir”, saya tambah.
Kes 2
Ketika sedang membelek-belek muka di cermin, ‘setting-setting’ rambut untuk ke kelas, roommate saya tegur, “Makin handsome kau sekarang, dah pandai pakai kemeja kasual, seluar jean lagi”. “Mana ada, sama aje, cuma dulu kat matrik tak boleh nak pakai macam ni, sebab tu kau tak perasan kot”, jawab saya.
“Gaya kau tak pernah berubah, masih berkopiah, berbaju raihan dan berseluar slack”, tegur saya mesra. “Ni lah gaya aku, orang Islam kena berpakaian macam ni, baru nampak macam orang Islam”, jawab dia.
Mulut tersenyum meraikan cadangan itu. Saya perhatikan kopiah putihnya yang dah naik kuning. Entah berapa lama tak basuh. Baju raihan hijaunya juga tak bergosok dan berbau hapak. Jawab saya, “tak, maksud aku kenapa kau tak iron baju tu, kopiah tu bila lagi nak berbasuh??haha” Soalan keras kalau digandingkan dengan ketawa, ia akan jadi seperti jenaka.
“Pakailah apa-apapun, asalkan menutup aurat dengan sempurna dan orang tak pandang serong dengan identiti yang kita bawa. Kau berpakaian persis seorang ustaz, ia perlu cantik seperti seorang ustaz yang beramal dengan ilmunya, kan Nabi suruh kita buat sehabis baik dalam segenap hal?? Pakai baju ni kalau sempurna pun dapat pahalakan??”
Nabi Muhammad SAW ikutan terbaik. Perbuatannya, perkataannya adalah sunnah yang akan mendapat pahala orang yang mengikutinya. Tetapi dalam keghairahan mengikut sunnah yang zahir itu, kita terlupa mengikut ‘sunnah berfikir’ Nabi. Baginda bukan saintis, tapi pemikirannya lebih baik dari saintis barat. Baginda bukan ahli koporat, tetapi pemikirannya lebih professional dari ahli perniagaan terkemuka.
Anda nampak hebat kerana mengikut sunnah, tetapi anda nampak lebih hebat jika beramal dan berfikir mengikut sunnah.
*Ditulis oleh: Pali Thinker
Wah, GREAT! Hebatkan artikel beliau. Ini antara artikel hebat kiriman pengunjung Laman Motivasi #1 Anda. Bagi anda yang suka menulis dan ingin berkongsi penulisan hebat anda di Warkahsiber, emelkan sahaja penulisan anda di ukhwah86@hotmail.com. Semudah itu. Artikel anda akan disiarkan tanpa edit dan segala kredit adalah milik anda. WS amat berbesar hati menerima dan menyiarkan penulisan hebat anda. Tunggu apa lagi, come on, guys!
Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,
0 comments:
Post a Comment