Saturday, 17 December 2011

AWAS: Adakah Anda Penghidap Virus API?

     Assalamualaikum.. Pernahkah anda dengar tentang sejenis virus yang dipanggil “Virus API”? Jika sebelum-sebelum ini kita kenal virus H1N1, virus HIV, Virus Hepatitis B dan banyak lagi. Kini, melanda dunia dan seantero negara kita khususnya, ialah virus yang terbaru, iaitu Virus API! Seperti yang kita tahu, segala jenis virus pasti mendatangkan impak negatif terhadap kita, terutamanya kesan fizikal. Virus selesema menjadikan hidung sentiasa berair dan badan terasa lemah. Virus H1N1 menyebabkan demam panas, manakala virus HIV menjadikan antibodi lemah. Apa pula kesan Virus API? Tetapi persoalan paling besar ialah apa itu Virus API?
     Pertamanya, ini bukanlah virus kesihatan seperti yang kita terbiasa dengar. Virus API adalah virus motivasi diri. Virus ini tidak “memakan” diri anda secara fizikal tetapi menyebabkan kadar intelektual dan spiritual anda lemah. Nama pendeknya ialah Virus API, dan nama panjangnya ialah "Virus Alahan Pada Ilmu". Mendengar pada namanya sahaja, adakah anda salah seorang daripada penghidap virus ini?

     Mereka yang tekena virus ini lazimnya menzahirkan simptom-simptom seperti:
  • Kurang membaca buku-buku ilmiah
  • Malas menghadiri dan menonton program kuliyah dan majlis ilmu
  • Merasakan mereka sudah pandai, walhal sebenarnya tidak tahu apa-apa
  • Bercakap dan berhujah berdasarkan nafsu, bukannya ilmu
  • Pemikiran cetek  dan tidak tebuka
  • Otak berorientasikan hiburan semata-mata
     Secara umumnya, mereka yang dijangkiti Virus API mempunyai paras intelektual dan spiritual yang rendah. Masakan tidak, otak dan hati mereka kosong daripada ilmu. Yang memenuhi otak dan hati mereka hanyalah hiburan dan keseronokan dunia. Setiap tindak tanduk, perspektif pemikiran dan keputusan mereka tidak diasaskan dengan ilmu tetapi berlandaskan kehendak semata-mata. Antara ungkapan popular penghidap Virus API, "Saya berkemban kerana arahan pengarah dan demi menghayati watak", "Kubur masing-masing, jangan nak menyibuk", "Ini cara kami, jangan paksa-paksa", "Bukan kami nak jadi gay, tapi dah takdir." Kesannya? Setiap ucapan mereka menampakkan mereka sebenarnya jahil dan tak mengerti, bukannya nampak pandai seperti yang mereka rasakan.

     Virus ini begitu ketara dalam kalangan rakyat Malaysia. Ilmu kian menjadi perkara picisan. Jika dinilai senario masa kini, ternyata menjadi satu kebingungan kerana sumber ilmu sangat luas dan bertimbunan. Kemudahan ilmu berada di mana-mana sahaja.  Hampir setiap daerah disediakan perpustakaan. Hampir setiap “shopping complex” mempunyai kedai dan galeri buku. Hampir setiap saluran tv menyirakan rancangan ilmiah. Hampir setiap orang di Malaysia melayari Internet setiap hari. Namun, kenapakah rakyat Malaysia masih ALAH pada ilmu?
     Dan, persoalan paling penting, adakah anda ALAH pada ilmu? Pesan WS, hindari Virus API. Tingkatkan kecintaan pada ilmu. Ingat, cintai ilmu, anda semakin bijak. Cintai hiburan, anda semakin dipijak. Selamat mencintai ilmu. All the best, guys!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More