“Imam, kenapa baca panjang-panjang?” bentak seorang jemaah di masjid.
“Saya baca Surah apa tadi?” saya bertanya.
“Surah Sabbihisma rabbika al-A’la. Imam tahu kan, Maghrib sunnah memendekkan bacaan?” beliau meneruskan bantahan.
“Pendek pada kamu, Surah apa cadangannya?” saya meneruskan pertanyaan.
“Baca Qulya ayyuha al-Kaafiroon sudahlah!” beliau bertegas.
“Baiklah” saya mengangguk.
“Tapi, kalau Imam sudah tahu, kenapa baca panjang-panjang tadi?” beliau masih belum berpuas hati.
Saya tersenyum.
Kelat.
Cuba menghias tebu di bibir senyum.
Pengalaman bekerja sebagai Imam yang sangat muda bagi sebuah komuniti yang sangat mencabar di Belfast ,Ireland Utara, memberikan saya satu pelajaran penting.
Bukan semua soalan perlu dijawab.
Sesetengahnya, iyakan sahaja.
Sesungguhnya itulah satu-satunya petua yang membantu saya bertahan untuk meneruskan tugas sebagai Imam ketika itu. Belajar berhenti daripada mengikut rentak perdebatan.
Debat 1 Ramadan dan 1 Syawwal hari apa, debat baca panjang sangat, baca pendek sangat, Arab masak rasa macam plastik, Pakistan masak pedas macam api Neraka masuk ke perut, khutbah mesti banyak Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris, musim panas yang tiada waktu Isyak sepatutnya dijamakkan solat atau dilewatkan Isyak… segala-galanya tidak pernah berakhir, berulang sama ada secara harian, mingguan, bulanan, malah tahunan.
Di peringkat awal, semuanya mahu dijelaskan. Mahu dipertahankan. Atas nama kebenaran, atas nama dakwah.
Tetapi selepas satu perjalanan masa, saya belajar pelajaran pahit yang manis ini.
Tekan butang pause, berhenti menjawab selepas jawapan yang diperlukan sudah dinyatakan.
AMALAN DI BLOG
Demikian juga yang saya amalkan di blog ini.
13 tahun mengendalikan Saifulislam.Com, dari semasa ke semasa banyak ombak dan taufan yang datang. Jika pengunjung biasa yang akhirnya sudah menjadi kawan, lazimnya perbincangan adalah santai biar pun ketika berbeza pendapat. Tetapi dengan pengunjung berkala yang hadir secara bermusim, ada yang berminat dengan perdebatan hingga tidak dapat dikesan hujung dan pangkalnya.
“Ok?”
“Jom solat”
“Will you marry me?”
Itu adalah contoh-contoh reaksi yang termampu saya berikan, tatkala perbincangan berubah menjadi perdebatan.
Selepas apa yang perlu dijelaskan, telah dijelaskan, bertawakkallah kepada Allah.
Jangan berlebih-lebihan dalam perdebatan. Jangan berkelakuan fajir dalam pertengkaran. Ketika jawapan dianggap alasan, penjelasan dianggap menegak benang yang basah, diamlah, biar pun diam dianggap kalah.
((أربع من كُنَّ فيه كان منافقاً خالصاً، ومن كانت فيه خُلَّة منهن كانت فيه خُلَّة من نفاق حتى يدعها: إذا حدَّث كذب، وإذا عاهد غَدَر، وإذا وعَدَ أخلف، وإذا خاصم فَجَر))
“Empat karakter, barangsiapa memilikinya maka dia itu adalah seorang munafiq yang tulen. Barangsiapa yang memiliki salah satu daripada karakter itu, maka dia berada di atas salah satu cabang nifaq sehingga dia benar-benar meninggalkannya: Apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, apabila berpakat dia khianat, apabila bertengkar, dia melampau” [Hadith riwayat al-Bukhari (3007) dan Muslim (58) dengan lafaz Muslim]
Dalam menyemai Islam, jangan nifaq yang subur tumbuh.
*Dipetik daripada: http://saifulislam.com/?p=10630
Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,
0 comments:
Post a Comment