Sunday 26 February 2012

4P Punca Stres

     Assalamualaikum.. Bermacam-macam masalah dan konflik dalam hidup yang sering sahaja berganti-ganti membayangkan kita seolah-olah tidak mampu mengawal kehidupan kita. Perasaan ini akhirnya meletuskan stres. Perasaan yang seringkali tidak kita mahukan tetapi tidak dapat dielakkan. Kunci kepada pengurusan stres adalah mengawal puncanya. Hakikatnya, kita sebenarnya mampu mengawal kebanyakan punca yang menyebabkan stres.  Jadi, kali ini WS akan berkongsi 4P yang menjadi punca utama kepada stres dalam kehidupan kita.

Persekitaran: Faktor persekitaran yang tidak kondusif menjadi antara punca yang banyak menyumbang kepada tekanan. Masyarakat yang sering bergaduh, pendapatan rendah tidak mampu menampung kos sara hidup, rumah bersepah, suasana kerja bermasalah, pertengkaran sesama ahli keluarga dan rakan-rakan pastinya memuncakkan stres dalam hidup seharian. Persekitaran anda ibarat acuan hidup anda. Andai buruk acuannya, buruklah bentuknya. Andai buruk persekitaran, buruklah kualiti hidup.

Pengurusan masalah: Masalah ialah benih kepada stress. Antara simptom pengurusan masalah yang menyebabkan stress ialah lebih banyak mencari punca berbanding penyelesaian. Akhirnya masalah bukan sahaja tidak selesai bahkan menambahkan masalah baru seperti pertelagahan antara dua pihak. Juga, berkatalah “Tidak” apabila perlu. Apabila cuba menyenangkan hati orang lain, sebenarnya anda lebih banyak menyakiti hati sendiri. Rungkailah sebolehnya dengan penyelesaian yang “simple”, usah mencari jalan yang kompleks kerana jalan yang kompleks memerlukan usaha yang kompleks.

Pengurusan masa: Antara contoh pengurusan masa yang menyumbang kepada berlakunya stress ialah suka bertangguh, terlalu kalut atau relaks, lewat, menunggu hingga saat terakhir, tidak menepati waktu, tidur lewat. Impaknya, lewat ke pejabat menyebabkan kita dimarahi bos, apabila menangguh kerja terpaksa bersengkang mata menyiapkan segalanya, tidur lewat membuatkan emosi terganggu dan marah-marah sepanjang hari. Keadaan-keadaan ini membuatkan kita menjadi stres.

Perhubungan dengan Allah: Sesungguhnya Allah telah berkata kepada sekalian manusia di dalam surah Toha, “Barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku ia tidak akan sesat dan celaka. Dan barangsiapa yang berpaling tadah, tidak ingat kepada-Ku maka baginya kehidupan yang sempit.” (Surah Taha ayat: 123) ”. Jika kita mempunyai masalah dalam hubungan kita dengan Allah, tidak hairanlah hati kita sentiasa tidak senang. Allah menyempitkan hati dan kehidupan kita. Bila hati tidak senang, stres mula meledak. 

     Setelah mengetahui 4P yang mencetuskan stres dalam kehidupan seharian kita, bertindaklah mulai sekarang mengawal serta memperbaiki 4P kita. Stres ada baik serta buruknya. Jika stres di tahap positif mampu menjadi motivasi dan pendorong dalam hidup. Andai stres yang tidak lagi terkawal bakal mengundang impak negatif. Kualiti hidup anda bergantung kepada kualiti pengurusan stres. Urus stres anda, terurus hidup anda!

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More