Wednesday, 3 August 2011

Hamba Ramadhan vs Hamba Allah

Assalamualaikum..Bertamu lagi Ramadhan kali ini. Bulan terhebat, bulan terbaik buat umat Muhammad S.A.W. Menariknya, kita berlumba-lumba melaksanakan ibadat selain puasa, baik sedekahnya, membaca Al Qurannya, solat sunatnya serta pelbagai amalan lain bagi meraikan Ramadhan. Namun, di sebalik kesibukan ibadah kita, tanpa kita sedar ramai daripada kalangan kita terjebak dalam fenomena “Hamba Ramadhan”.
Fenomena yang amat kurang disedari para Muslim, tetapi realitinya ramai kawan-kawan kita termasuk diri kita sendiri mungkin menjadi Hamba Ramadhan. Tetapi, apakah itu Hamba Ramadhan? Golongan yang boleh kita kategorikan sebagai Hamba Ramadhan terbahagi kepada dua iaitu:
  1. Mereka yang Ramadhannya hanya dibezakan dengan bulan-bulan lain oleh puasa.
  2. Mereka yang hanya bersungguh melakukan ibadat ketika Ramadhan sahaja.

 
Golongan yang pertama menyaksikan mereka ini tiada bezanya antara Ramadhan dengan bulan-bulan lain kecuali puasa. Jika di bulan-bulan lain solat mereka tunggang langang, begitu juga solat mereka ketika Ramadhan. Mereka yang pada bulan-bulan lain tidak menutup aurat, baik yang lelakinya masih berseluar pendek mahupun yang perempuannya masih tidak bertudung, begitu juga tingkahnya ketika Ramadhan. Mereka yang pada bulan-bulan lain berbuat maksiat seperti berpegangan tangan bukan mahram, menonton perkara-perkara maksiat seperti pornografi begitu juga kelakuannya ketika Ramadhan. Mereka yang pada bulan-bulan lain tidak menyentuh Al Quran, masih tidak membaca Al Quran pada bulan Ramadhan. Dan, pelbagai lagi kelakuan sumbang yang lain. Mereka ini dikatakan sebagai menyembah Ramadhan kerana hanya memperhambakan diri pada puasa Ramadhan sahaja, bukannya memperhambakan diri pada perintah Allah.

Golongan kedua pula ialah mereka yang hanya beribadat pada bulan Ramdhan tetapi tidak meneruskannya di bulan-bulan yang lain. Mereka melakukan ibadat dengan banyaknya sempena Ramadhan sahaja tetapi di bulan lain mereka lalai daripada ibadah kepada Allah. Jika ketika Ramadhan hebat Qiyamnya, namun selesai Ramadhan langsung tertinggal Tahajjudnya. Jika ketika Ramadhan sibuknya dengan zikrullah, tetapi selesai Ramadhan tiada lagi menyentuh tasbih. Jika ketika Ramadhan murah sedekahnya, tetapi selesai Ramadhan begitu berat tangannya. Pengakhiran ibadah mereka ini diakhiri dengan berakhirnya Ramadhan. Sebab itulah mereka digelar “Penyembah Ramadhan” berbanding “Hamba Allah” kerana Hamba Allah sentiasa memenuhkan hidupnya dengan ibadah tiap ketika, bukan pada waktu tertentu sahaja.
Dr Yusuf Qardhawi mengolah kata-kata Saidina Abu Bakar ketika menenangkan Saidina Umar yang tidak dapat menerima kewafatan Rasullullah “Sesiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah, Allah kekal hidup abadi” kepada “Sesiapa yang menyembah Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan telah pergi. Sesiapa yang menyembah Allah, Allah kekal hidup abadi” sebagai peringatan kepada kita agar tidak menjadi Hamba Ramadhan. 

Ingat, kita telah berjanji bahawa “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah” dalam doa iftitah setiap kali bersolat, janganlah dimungkiri janji kita dengan Allah itu. Semuanya kerana Allah, bukan kerana Ramadhan. Jadilah Hamba Allah, bukannya Hamba Ramadhan.
     Kesimpulannya, Ramadhan sebetulnya dijadikan sebagai pelantar transformasi diri untuk menjadi Hamba Allah yang lebih baik. Nilai kembali diri, betulkan iktikad Ramadhan, jadikan Ramadhan ini Ramadhan terbaik, Ramadhan terhebat. Insyaallah.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More