Assalamualaikum..Masa “convocation” tempoh hari, WS sempat bertemu dengan rakan-rakan lama yang sama-sama menuntut di UIAM dulu. Ada yang dah ada anak, ada yang yang dah mula stabil bekerjaya, yang nak berhenti kerja pun ada. Raut wajah? Taklah banyak beza sangat. Masih cam lagi, walaupun ada yang dah botak licin. Hehe. Tatkala berjumpa, terkeluarlah cerita-cerita ketika bersama dulu. Peristiwa manis, pahit, kelakar, semuanya menaut semula silaturrahim. Itulah indahnya persahabatan. Sekali bertemu, kekal ingatan selamanya. Terlanjur bercerita tentang sahabat, WS ingin berkongsi satu kisah tentang Saidina Abu Bakar. Yok baca.
Aidz bin Umar meriwayatkan, ketika sedang melakukan “nafar”, Abu Sufyan mendatangi Salman, Shuhaib dan Bilal. Lantas, mereka berkata, “Semoga pedang Allah memancung leher musuh Allah.” Mendegar ucapan mereka, lalu Abu Bakar berkata, “Seperti inikah kalian berkata kepada ketua dan pemimpin suku Quraisy?” Kemudiannya, Abu Bakar berjumpa dengan Rasulullah dan menceritakan hal tersebut.
Mendengar hal tersebut, Baginda bersabda “Abu Bakar, mungkin kamu telah membuat mereka marah? Jika kamu telah membuat mereka marah, maka sama sahaja kamu telah membuat Allah marah.” Mendengar kata-kata Rasulullah tersebut, Abu Bakar segera kembali berjumpa dengan mereka bertiga. Beliau bertanya, “Saudaraku, adakah aku telah membuat kalian marah?” Mereka menjawab, “Tidak, semoga Allah mengampunimu, Abu Bakar.”
Dalam bersahabat hati dan perasaan sahabat haruslah dijaga. Bak pesan Rasulullah, jika kita buat kawan kita marah, maka kita telah buat Allah marah. Ha, kalau Allah dah marah, bahaya tu. Itulah punca tertutupnya pintu rahmat dan rezeki kita. Bila dah tak ada rahmat Allah, mulalah hidup berserabut dan tak tenteram daripada segala permasalahan. Tapi, jika Allah sayang, maka dilimpahkan rahmat-Nya, kebahagiaan serta kelapangan dalam setiap pekerjaan kita. Mudahnya, sentiasalah menjaga hati sahabat kita. Untuk itu,
- Elakkan menjadi punca kemarahan orang lain.
- Hindari pertengkaran atas sebab yang remeh.
- Setiap kali sebelum menamatkan hari anda, “check” kembali adakah salah dan silap anda dengan orang lain.
- Jika ada, bersegeralah bermaafan.
- Selalulah ringankan mulut menyebut maaf.
Jadikan pesan Rasulullah ini sebagai panduan kita dalam bersahabat. Insyaallah, dengan panduan ini,moga persahabatan akan lebih harmoni serta diberkati. Friendship forever,guys!
Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,
0 comments:
Post a Comment