Assalamualaikum..Saban hari kita disajikan dengan kisah-kisah kurang enak rumah tangga di dada-dada akhbar, laporan berita television mahupun radio dan juga cerita-cerita bersumberkan AMT (Ahli Mesyuarat Tingkap). Kes-kes melibatkan suami isteri seperti suami pukul isteri, suami curang, suami tak bagi nafkah. Ada juga kisah-kisah melibatkan isteri seperti isteri dera suami, isteri nushuz pada suami, isteri curang. Maka, penamat segala kemelut rumah tangga seperti yang disebut ialah bercerai.
Itu baru kes suami isteri. Tak kurang hebatnya kes melibatkan anak-anak. Anak-anak sering bergaduh, anak lari dari rumah, anak derhaka, anak pukul ibu, anak kena tangkap khalwat, anak kena tangkap mencuri dan macam-macam lagi. Keluarga dahulunya dimulakan dengan penuh pengharapan kebahagiaan sehingga ke akhir hayat, namun tak kesampaian. Setiap hari ada sahaja pergolakan, pantang tersalah pasti bergeseran, baik suami, isteri mahupun si anak. Kebahagiaan keluarga bagaikan retak menanti belah. Rumah bukan lagi syurga, tetapi neraka!
Kenapakah semua ini berlaku? “Kenapa suami aku macam ni?” “Kenapa isteri aku macam ni?” “Kenapa anak aku teruk macam ni?”Setelah dicurah segala kasih sayang, wang, harta, masa, namun sengketa masih berleluasa di dalam rumah tangga. Termanggu seketika memikirkan punca sebenar keluarga bahagia kini bertukar neraka. Salah suamikah? Salah isterikah? Salah anakkah? Atau punca-punca luar yang mengganggu gugat keluarga? Jika anda hendak tahu, inilah dalangnya, Iblis Dasim!
Terdapat pelbagai golongan iblis dengan pelbagai nama dan tugasan. Secara amnya,semua iblis bertujuan untuk menghancurkan manusia dengan menyesatkan dan menjauhkan mereka daripada Allah. Dan antara iblis-iblis yang wujud ialah Iblis Dasim. Iblis Dasim ditugaskan untuk menghancurkan rumah tangga yang dibina murni. Ini kerana perkahwinan adalah jalan baik yang dihalalkan Allah buat semua insan membina kasih sayang, memenuhi fitrah manusia dan meramaikan keturunan. Maka ikatan suci inilah yang ingin dikotorkan oleh Iblis Dasim.
Iblis Dasim seringkali membisikkan kata-kata dan hasutan jahat yang mencetuskan pergaduhan dan perlakuan sumbang dalam rumah tangga. Dialah yang membakar api kemarahan sehingga berlaku pertengkaran dan penderaan. Dialah yang membisik cemburu dan prasangka jahat agar sentiasa meragui kejujuran pasangan. Dialah yang mengipas nafsu sehingga curang dan berzina. Dialah menghasut anak-anak berbuat jahat kepada ibubapa. Dialah mengapi-apikan amarah anak-anak sehingga ditengking ibu dan ayah, dan melarikan diri dari rumah.
Oleh itu, peliharalah rumah tangga daripada diceroboh oleh Iblis Dasim. Di dalam rumah anda, selalulah:
- Memberi salam ketika masuk rumah
- Membaca Al Quran dalam rumah
- Bersolat
- Berzikir
- Azan dalam rumah
- Mengucapkan Isti’azah (‘Aau’zubillah himinasyaitan nirrajim)
Jika rumah anda kekurangan perkara-perkara di atas, pintu terbuka luas utuk Iblis Dasim menjenguk keluarga anda. Rumah yang tiada di dalamnya agama, itulah “port” bertenggek Iblis Dasim. Dia adalah tetamu yang tak diundang. Halanglah dia daripada masuk ke rumah anda kerana dia membawa 1001 bala bencana kepada kerukunan rumah tangga anda. Sinari rumah anda dengan amalan Islam, Insyaallah, terpeliharalah keluarga dalam rahmat Allah dan jauh daripada segala kejahatan. Selamat berbahagia!=)..
Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,
0 comments:
Post a Comment