Friday, 16 December 2011

Ukur KPI Nafsu Anda

     Assalamualaikum..Darsawarsa ini, kita seringkali dihebohkan dengan pelbagai gejala kebejatan moral baik dalam kalangan golongan muda, mahupun yang dewasa. Gejala buang bayi, pengisytiharan muflis, seks bebas, hiburan melampau, kecelaruan orientasi seks, rasuah dan banyak lagi masalah sosial makin hari makin meningkat di Malaysia. Meningkatnya kes-kes kesalahan sosial membuatkan kita semakin risau memikirkan paras intelekual dan keimanan kita sekarang ini.
     Tatkala dikupas isu ini, perihal nafsu seringkali dibangkitkan sebagai penyebab utama segala kejahatan. Tuntutan nafsu yang tidak mampu dikawal menyebabkan ramai di kalangan kita terjerumus ke dalam lembah maksiat kepada Maha Pencipta. Melihat keseriusan masalah sosial ini, apakah kita selama ini bertuhankan nafsu? Apakah nafsu itu jahat? Jika nafsu itu jahat, kenapakah pada penciptaan manusia disertakannya?

     Hakikatnya, jawapan kepada persoalan ini telah dijawab dalam Al Quran. Allah S.W.T berfirman dalam Al Quran “Sungguh nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.” Benarlah, kejadian manusia itu dilengkapkan dengan elemen nafsu. Nafsu ialah antara petanda bezanya manusia dan malaikat. Nafsu ialah sifat fitrah manusia. Amnya, nafsu merujuk kepada keinginan, keghairahan dan kecenderongan manusia, sama ada ke arah kebaikan atau kejahatan.
     Nafsu ialah ciptaan Allah yang perlu dibelai dan dilentur. Maka, segala persoalan tentang tindak tanduk liar manusia dikaitkan dengan kadar nafsu yang tidak terkawal. Jika baik nafsunya, maka baiklah hidupnya. Jika buruk nafsunya, buruklah hidupnya. Bahkan, nafsulah “soft spot” bagi Syaitan menghasut manusia kea rah kemungkaran. Dihasutnya, diasuhnya dan dididiknya nafsu manusia agar berpaling daripada Allah. Oleh sebab itu, kita diingatkan agar sentiasa memagar nafsu dengan zikir, bacaan Al Quran dan ibadah. 

     Hendaklah kita sentiasa berusaha melentur dan menundukkan nafsu kita. Jika paras nafsu kita sangat tinggi, maka kita semakin hampir bertuhankan nafsu, bukannya Allah. Yang menjadikan nafsu itu tuhan ialah apabila manusia tunduk dan patuh dengan segala tuntutan nafsu. Segalanya diikuti. Belanja boros dan mewah, gila duit, gila kuasa dan pangkat, makan berlebihan, fesyen melampau, rogol, seks bebas, vandalisme dan gansterisme, serta malas beribadah. Kepuasan yang dicari tidak menjamin ketenangan. Ketenangan hanya ada pada hati yang mengingati Allah, bukannya mengikuti nafsu.
     Ingatlah, Allah telah menyatakan bahawa “Kemuncak perbuatan derhaka manusia bertuhankan nafsu adalah Allah menyesatkan merek dan menutup pandangan mereka daripada melihat kebenaran. Mereka terus tidak mengenal Allah dan agama yang benar. Ini adalah akibat hidup bertuhankan nafsu.” (Surah al Jasiya, ayat 13). Maka, berhati-hatilah ketika menjalani kehidupan agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang disebut dalam ayat di atas. Sentiasa ukur paras nafsu kita agar tidak tersesat. Jadi, berapa paras nafsu anda?

Hustle up and Be GREAT!
Salam transformasi daripada,

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More